Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Abdul Latiff Mirasa menyifatkan pentadbiran regim DAP di Pulau Pinang sebagai kejam dan tidak berhati perut apabila tergamak meruntuhkan rumah seorang warga emas di Kampung Lengkok Sungai Gelugor.
Menurut beliau, tindakan regim DAP itu adalah satu perbuatan yang begitu melampau dan tidak sepatutnya dilakukan oleh sebuah kerajaan yang konon-kononnya ingin prihatin dan ingin membela rakyat di negeri ini.
“Saya cabar Lim Guan Eng, adakah dia sudah bersedia mahu meruntuhkan semua rumah yang mempunyai masalah undang-undang seperti itu? Saya yakin ada banyak lagi kes-kes seperti itu dan apakah Lim Guan Eng sudah bersedia untuk mengambil tindakan yang serupa terhadap rumah-rumah lain di dalam negeri ini?
“Biarpun pemilik rumah itu ada kesalahannya, tetapi masih ada jalan lain selain meruntuhkan rumahnya dengan cara yang begitu. Bagi saya, ini adalah satu tindakan yang amat kejam dan tidak berperi kemanusiaan yang dilakukan oleh regim DAP, selain daripada tindak-tanduk mereka yang selama ini bagaikan telunjuk menjolok mata.
“Ternyata hari ini, Lim Guan Eng memperlihatkan belang beliau di mana segala janji-janji DAP ternyata amat bercanggah dengan perbuatan mereka hari ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, sepanjang pentadbiran BN di Pulau Pinang sebelum ini, mereka juga berhadapan dengan kes-kes pelanggaran undang-undang seperti itu.
“Tapi dulu kita tidak bertindak membabi buta seperti itu. Masih ada banyak lagi jalan lain untuk menyelesaikan masalah tersebut, dan bukannya dengan mengambil tindakan seperti itu. ? Apakah kerana pemilik rumah itu seorang warga emas yang tidak berdaya dan tidak mampu berbuat apa-apa, maka Guan Eng secara sombong dan angkuh merestui tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merobohkannya,” soalnya tegas.
Tambahnya lagi, apa yang dilakukan oleh regim DAP ini seolah-olah merupakan satu tindakan politik perkauman sempit yang kejam dan sengaja mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu di Pulau Pinang .
“Kalau pemilik-pemilik rumah yang ada kaitannya dengan regim mereka, pasti akan terlepas. Mereka, wakil-wakil DAP akan menutup mata sekiranya yang melakukan kesalahan itu adalah orang-orang ataupun kenalan mereka. Tetapi bagi orang miskin dan tidak kenal sesiapa yang berjawatan di dalam pentadbiran negeri, mereka akan diperlakukan dengan hina seperti mana yang berlaku terhadap warga emas pemilik rumah itu,” ujarnya lagi.
Bagi beliau, rakyat di negeri ini seharusnya membuka mata dan melihat bagaimana regim DAP memerintah apabila mereka diberi kuasa.
Katanya, ternyata sepanjang tempoh pentadbiran regim DAP di Pulau Pinang, rasuah, kroni, menindas orang miskin dan putar belit janji menjadi kejayaan terbesar regim tersebut dalam pemerintahan mereka. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment
comment please.....