Konco-konco ku

Thursday, November 8, 2012

ISU SELANGOR: PAKATAN HANYA PANDAI BERJANJI, NAK TEPATI HARAMMMM....


Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) hari ini mencabar Kerajaan negeri Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor supaya mengemukakan satu kenyataan rasmi termasuk menyenaraikan status pencapaian terhadap setiap janji kepada rakyat yang dibuat menerusi manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan memberikan tempoh selama dua minggu kepada kerajaan PKR Selangor untuk berbuat demikian memandangkan sebilangan besar janji dalam manifesto tersebut masih belum ditunaikan sehingga ke hari ini.

“Berdasarkan penelitian dan kajian GPRS, sejak mentadbir Selangor empat tahun lalu, sebanyak lapan janji langsung tidak dilaksanakan oleh kerajaan PKR Selangor antaranya ialah memberi bantuan RM50 sebulan untuk pendidikan pra-sekolah; bantuan golongan muda mendirikan rumah tangga termasuklah memberikan elaun kepada ibu tunggal dan suri rumah di negeri ini.

Selain janji tidak ditunaikan, terdapat empat program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah manifesto tersebut turut tidak sempurna selain mendakwa wujudnya kelemahan yang ketara seperti bantuan RM75 untuk setiap anak ke nurseri, hadiah RM1,000 anak negeri yang mendapat tawaran universiti, bantuan biasiswa pelajaran dan juga tabung permulaan RM100 untuk setiap anak kelahiran Selangor,” ujarnya kepada media dalam satu sidang media di sini hari ini.

Justeru, GPRS mendesak kerajaan PKR bersama-sama sekutu mereka, DAP dan Pas tampil menyediakan kenyataan rasmi dengan menyenaraikan pencapaian kesemua 12 perkara ini yang terkandung dalam manifesto mereka.

"Kita cabar kerajaan negeri umumkan perkara ini, kita tidak mahu rakyat terus dibohongi. GPRS juga bersedia untuk berdebat dengan Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) atau wakilnya mengenai janji-janji tidak tertunai ini, termasuklah program-program dilaksanakan kerajaan negeri yang bersifat 'ala kadar' dan 'melepas batuk ditangga' sahaja," katanya.

Dalam masa yang sama, Sohaimi yang juga pengerusi Biro Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO turut menyelar PKR membuat janji baru untuk meraih sokongan pengundi pada pilihan raya umum akan datang seperti menurunkan harga minyak, menurunkan harga kereta dan sebagainya.

"Rakyat perlu membuat penilaian bahawa janji baru PKR itu sebenarnya hanyalah untuk menarik sokongan pengundi. Jika PKR dan sekutu mereka ikhlas mahu membantu rakyat, mereka sepatutnya telah selesaikan janji mereka pada PRU12 lalu khususnya di Selangor

"Namun, pakatan pembangkang sehingga hari ini tidak laksanakan janji tersebut, kemudian buat janji baru," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

comment please.....