Konco-konco ku

Friday, November 16, 2012

PAS LEBIH MEMENTINGKAN PUTRAJAYA DARI ISLAM


Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang berlangsung di Dewan Duyung, Perdana Resort hari ini berlangsung dalam keadaan tenang walaupun umum tahu bahawa parti tersebut sedang bergelora di peringkat akar umbi.  

Dalam ucaptamanya, Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS menyeru para Ulama PAS mempertahankan ijtihad Tahaaluf Siyasi (persefahaman politik) termasuk mengarahkan semua ahli mengundi calon-calon bukan Islam di kalangan Pakatan Rakyat.  Untuk itu,  Datuk Harun juga mengingatkan mereka agar menggunakan dalil-dalil dalam Al-Quran dan hadith yang bersesuaian, untuk meyakinkan pengundi.  

Secara dasarnya, Ulamak PAS mengambil pendirian untuk menumpukan kepada perkara besar dan mengenepikan perkara kecil dalam membawa usul ke Muktamar Tahunan ke-58 yang akan bermula esok di Pusat Tarbiyah Pengkalan Chepa (Putik).   

Apa yang menarik ialah, Dewan Ulama PAS telah memutuskan ‘menawan Putrajaya’ sebagai satu-satunya agenda besar.  

Manakala soal lain, termasuk kebebasan umat Islam menukar agama yang berbangkit dari kenyataan Nurul Izzah, hala tuju dan prinsip Pakatan Rakyat dalam soal hudud, Malaysian-Malaysia, liberalisme dan pluralisme yang menjadi kontroversi dalam mendefinasikan jatidiri PAS hari ini, telah diremehkan.  

Malah, soal jawatan Perdana Menteri serta  pembahagian kerusi yang merupakan isu asas dalam memperkatakan agenda besar untuk ‘menawan Putrajaya’ juga turut diketepikan. Dalam kata lain, penyokong PAS wajib menerima hakikat bahawa Anwar adalah bakal perdana menteri kerana Anwar saja yang mampu menyatukan jasad PAS dengan DAP yang mana tanpa penyatuan ini, PAS tidak mungkin mampu mengimpikan Putrajaya.  

Dalam kata lain, para penyokong yang mempunyai kemusykilan atau persoalan mengenai perkara-perkara di atas dan berniat untuk mengusulkannya untuk dibahaskan telah disarankan agar membatalkan niat mereka sebaik tiba di pintu Muktamar.  

Bagi menyimpulkan pendirian Dewan Ulama atau mungkin juga kepimpinan PAS keseluruhan, petikan tulisan seorang blogger pro-PR menyatakan segala-galanya, iaitu “Ahli perlu membincangkan bagaimana mahu melurus dan melebarkan jalan menuju ke Putrajaya.  Jangan pula ada yang primif dengan menyempitkan jalan ke Putrajaya dengan menzahirkan kebimbangan ataupun konfius; DAP akan menyekat pelaksanaan Islam ataupun masih konfius apakah suci ataupun tidak Anwar Ibrahim untuk jadi perdana menteri? Perkara itu tidak perlu ditimbulkan dan yang penting gapai dulu Putrajaya kemudian baru bahaskan.” 

Malah, blogger tersebut juga berpesan agar penyokong PAS jangan tamak mendesak agar kerusi pilihanraya diberikan lebih kepada PAS berbanding PKR.  Katanya, “Lebih baik Pas menang sedikit daripada menang besar kalau penyertaan itu memberi untung kepada Umno. Juga tidak ada gunanya Pas menang besar kalau kemenangan itu nanti digunakan untuk bergabung dengan Umno tanpa ada konsensus dari ahli.”

Alasan beliau ialah walaupun gabungan PAS-UMNO merupakan perkara spiritual iaitu hubungan agama dan bangsa tetapi “tidak elok kalau ditimbulkan dalam muktamar kerana ia boleh menyinggung rakan Pakatan yang lain.”  

Seperti juga blogger tersebut, Dewan Ulama PAS telah memutuskan yang PAS tidak pernah terpesong dari landasan asal iaitu masih memperjuangkan penubuhan Negara Islam dan melaksanakan Hudud.  Bagaimanapun, ahli-ahli dilarang bertanya bagaimana untuk memperjuangkannya sedangkan ia ditentang hebat oleh DAP.   

Nampaknya, kerana terlalu inginkan kuasa, Ulama dan kepimpinan PAS mula menunjukkan sikap kuku-besi.   Ahli-ahli tidak dibenarkan bersuara atau bertanya.  Jika ada yang berbuat demikian akan dituduh sebagai agen UMNO, pengkhianat dan kemungkinan besar dikenakan tindakan pecat. Ahli-ahli dipaksa untuk menerima hakikat bahawa jika mereka perlu menggadaikan agama, bangsa, negara, maruah, wang mahupun nyawa untuk mendekatkan mereka ke Putrajaya, maka mereka wajib melakukannya tanpa banyak soal.  

Nampaknya, Muktamar PAS kali ini tidak ada faedahnya jika ahli-ahli menerima saranan blogger PAS di atas.   Jika isu-isu yang menjadi kemusykilan di peringkat akar umbi tidak dibenar disuarakan, maka apa lagi yang boleh dibincangkan?   

Apakah Muktamar hanya untuk ahli berjumpa untuk mengeratkan silaturrahim dan mendengar ucapan kepimpinan semata-mata?   Sedangkan, akar umbi mendambakan satu gambaran yang jelas lagi terang berkenaan arah tuju parti sebelum dan juga selepas Pilihanraya.  

PAS tidak boleh mengharapkan semua ahli menerima arahan untuk tutup mulut dan memenangkan parti dahulu sebelum bertanya ke mana mereka akan dibawa.   Tidak semua ahli-ahli PAS sebodoh pemimpinnya.  Ramai yang berupaya membayangkan kekecohan selepas Pilihanraya sekiranya PAS tidak mampu menjelaskan di manakah kedudukan parti mereka dan ke manakah arah atau apakah gaya pemerintahan PR nanti.   

Muktamar ini sepatutnya digunakan sebaiknya untuk menjelaskan segala-gala kemusykilan akar umbi ini dan bukannya menggelapkan terus pandangan mereka.  Jika PAS gagal memuaskan hati akar umbi melalui Muktamar ini, maka Putrajaya nampaknya akan semakin jauh lagi.

No comments:

Post a Comment

comment please.....