Orang Melayu perlu mengambil iktibar daripada apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu melihat orang Melayu bersatu dan tidak berpuak-puak antara satu sama lain tanpa melupakan kaum lain.
Ketua Wanita UMNO Subang, Halimathon Saadiah Bohan menyifatkan apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor itu adalah suatu kebenaran berdasarkan perkembangan terkini yang berlaku di negara ini, disebabkan oleh fahaman politik, orang Melayu dilihat berpuak-puak.
“Sepatutnya orang Melayu perlu bersatu dalam apa jua perkara, apabila kita membicarakan isu agama dan bangsa, kita seharus sepakat bukannya berpecah belah, tetapi kebelakangan ini disebabkan oleh kepentingan politik ada di antara kita yang sanggup memperlekehkan perkara itu sehingga berbalah sesama sendiri.
“Sebagai Ketua Negeri, Sultan Sharafudin yang juga sebagai Ketua Agama Islam di Selangor membuat teguran itu adalah untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu supaya tidak berpecah-belah atau hidup dalam keadaan berpuak-puak hanya disebabkan mempunyai perbezaaan fahaman politik.
“Baginda turut menegur sikap segelintir pemimpin Melayu yang sanggup menggunakan agama sebagai modal politik untuk mendapat populariti,” katanya ketika diminta mengulas akan titah Sultan Sharafudin bahawa baginda akan terus membuat teguran demi untuk memelihara Islam dan orang Melayu.
Halimathon berkata, teguran yang dibuat oleh Sultan Sharafudin itu adalah untuk melihat orang Melayu dan Islam bersatu dan bukannya mempunyai motif politik untuk mana-mana pihak sebaliknya ia perlu dilihat secara positif demi memastikan orang Melayu dan Islam terus maju.
“Ini menunjukkan bahawa Sultan Sharafudin amat prihatin dan sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku terhadap rakyatnya terutama di kalangan orang Melayu dan Islam, baginda telah menyatakan bahawa baginda berkecuali dalam hal-hal politik tetapi tidak mahu adanya perpecahan disebabkan oleh politik,” katanya.
Menurutnya, rakyat perlu mengambil perhatian berhubung nasihat Sultan Sharafudin supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga sanggup melakukan sesuatu yang melampaui batas tanpa menyedari perbuatan itu boleh menimbulkan suatu suasana tidak sihat di kalangan rakyat negara ini.
Halimathon berharap, apa yang diluahkan oleh Sultan Sharafudin itu perlu dijadikan panduan oleh semua rakyat tanpa mengira kedudukan dan pangkat terutama di kalangan pemimpin politik yang sewenang-wenangnya menggunakan isu kontroversi untuk kepentingan politik. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment
comment please.....