Saat awal isu salun gunting rambut di Kelantan sampai ke pengetahuan umum pada mulanya ia dianggap sebagai isu remeh temeh dan hanya sekadar dipandang sebelah mata sahaja oleh pimpinan PAS Kelantan dan Pusat.
Pada mereka tidak ada silap atau pelik apabila pemilik salun E-Life Hair Salon, Ong Lee Ting terpaksa menerima saman untuk kali ke 11 berikutan kesalahan pendandan rambut wanita memotong rambut pelanggan lelaki bukan Islam.
Mereka yakin Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bertindak betul ketika menyaman pengusaha salun di KB Mall itu selaras dengan peruntukan Seksyen 107 (2) Akta Majlis Undang-Undang Tempatan.
Namun tak tersangka rupanya keyakinan pemimpin PAS mudah benar runtuh menyembah bumi hanya dek kerana wujudnya ketakutan yang amat sangat dengan bantahan dari Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Dalam kenyataan reaksinya berhubung isu itu, Karpal mengakui terkejut dengan tindakan Kerajaan PAS Kelantan memperluaskan penguatkuasaan peraturan itu terhadap masyarakat bukan Islam, sesuatu yang dianggapnya bercanggah dengan hak kebebasan dan perlembagaan.
Dengan nada yang keras dan sinis Pengerusi DAP itu menempelak PAS kerana gagal menepati pengisytiharan yang dibuatnya selama ini bahawa sebarang perlaksanaan undang-undang Islam sama sekali tidak akan meliputi orang bukan Islam.
Serentak dengan itu Karpal mendesak pemimpin PAS Pusat segera tampil memperbetulkan keadaan bagi mengelakkan isu tersebut dari menggugat keyakinan penyokongnya pakatan pembangkang menjelang PRU 13.
Hanya berselang masa sehari dua sahaja, tak semena-mena Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin PAS Kelantan bagaikan terpana dari lamunan, terus sahaja menyatakan persetujuan untuk mengkaji semula peraturan tersebut.
Semudah ABC, cukup sekali dua pemimpin veteran DAP itu bersuara, pasti pemimpin PAS segera mematuhinya. Tampak jelas demi kepentingan DAP, bukan satu masalah besar untuk PAS sekali lagi tunduk bacul kepada DAP saling tak tumpah seperti keldai tunggangan yang setia pada tuannya.
Sebelum ini PAS sudah berkali-kali melakukan perkara yang sama termasuklah terpaksa menggadai prinsip menegakkan negara Islam dan hudud PAS semata-mata demi memenuhi kehendak DAP.
Ini realiti yang terpapar di depan mata ramai sejak pasca PRU 2008 hingga kini, PAS bukan hanya sekadar bacul tapi terbukti serasi sebagai keldai kepada DAP. Satu kenyataan yang pahit sehinggakan dikalangan penyokong dan ahli PAS sendiri kelihatan rimas dan kemalu-maluan dibuatnya.
No comments:
Post a Comment
comment please.....