Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengakui Pakatan Rakyat masih belum menunaikan sepenuhnya janji-janji manifesto yang ditaburkan kepada rakyat negeri itu semasa kempen pilihan raya umum 2008.Beliau berkata demikian ketika menjawab sindiran daripada Presiden Pertubuhan Agenda Sosial Media 1Malaysia (1AGENDA) Zul Azhar Cha yang berkata, kerajaan Pakatan yang diterajui PKR masih gagal menunaikan janji-janji yang dibuat.
Kata Zul, sehingga hari ini, Selangor masih belum menunaikan banyak janji-janji mereka dan ini dibuktikan melalui anak beliau sendiri yang masih belum menerima bantuan RM50 untuk pelajar tadika seperti yang dijanjikan Pakatan meskipun anaknya itu dilahirkan di Selangor."Bila janji, tepati janji. RM50, anak saya tadika, tidak dapat pula. Kad pengenalan Selangor. Anak saya pergi tadika," katanya pada program Diskusi Meja Bulat yang membincangkan tajuk "Janji Ditepati Bukan Sekadar Tema" anjuranAntarapos.
Menjawab sindiran itu, Dr Rani yang juga ADUN Meru berkata, Pakatan mempunyai beberapa fasa tertentu dalam menunaikan janji yang ditaburkan dan kini mereka berada pada fasa kedua pelaksanaannya."Saya setuju bukan semua manifesto yang kita sebut pada 2008 telah kita buat. Tetapi lebih dari 90 peratus kita dah buat, kini dalam fasa kedua."Ada fasa-fasa tertentu yang kita baru-baru ini kita bincang, yang tadika tu kita akan lakukan mengikut fasa, InsyaAllah," ujarnya.
Tambah beliau, walaupun belum 100 peratus janji ditunaikan namun kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan telah melaksanakan pelbagai program dan skim untuk kesenangan rakyat."...jangan lupa ada 30 program yang kita tak janji (tapi) kita buat, 30 program termasuk mikrokredit dan sebagainya, kita juga ada skim usia emas. Kita dah bagi kepada rakyat (perkara) yang kita tidak sebut dalam manifesto dan media-media arus perdana."Sebelum ini pelbagai pihak mendesak kerajaan negeri pimpinan Pakatan agar melaksanakan sepenuhnya manifesto yang ditaburkan pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu.
Antara janji-janji yang belum ditunaikan termasuk, pengurangan cukai pintu, pemberian bantuan wang kepada ibu tunggal, petani dan nelayan serta menjamin pendapatan bulanan RM500 kepada setiap pekerja. Selain itu, bantuan perubatan percuma kepada warga emas juga tinggal janji.Pada pilihan raya 2008 itu, pada peringkat parlimen Pakatan berjaya menafikan majoriti dua pertiga yang dipegang Barisan Nasioal sejak kemerdekaan serta membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak (sehingga Januari 2009) dan Selangor.-AntaraPos
posted from Bloggeroid
No comments:
Post a Comment
comment please.....