Konco-konco ku

Monday, July 2, 2012

LAGI DESAKAN GAPS TERHADAP PAKATAN SELANGOR ATAS STATUS PADANG PKNS!!


Pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) didesak menarik balik permohonan projek pembangunan di padang PKNS Kelana Jaya, Selangor sebagai menghormati bantahan rakyat.

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, penduduk di kawasan itu tidak pernah mengizinkan sebarang penukaran status zon padang itu dilaksanakan, sebaliknya ia terus kekal sebagai kawasan hijau dan tempat rekreasi.

''Kawasan padang itu merupakan kawasan hijau yang langsung tidak sesuai untuk dibangunkan pusat komersial.

''Justeru, PKNS perlu menghormati keputusan yang dibuat dahulu iaitu diwartakan sebagai kawasan hijau, sekali gus membatalkan sebarang perjanjian membabitkan penukaran status padang itu,'' katanya di sini hari ini.

Hamidzun berkata, mana-mana pihak yang cuba menjadi jaguh dalam isu tersebut wajar disiasat kerana berkemungkinan terdapat kes penyelewengan dan salah laku apabila tetap mahu membenarkan projek komersial itu dibangunkan.

Dalam hal itu, katanya, sesi pendengaran Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) yang diadakan kerajaan negeri berhubung isu padang itu wajar mengenal pasti ahli politik yang menjadi dalang kepada projek tersebut.

''Selcat juga tidak harus menjadikan pegawai kerajaan sebagai kambing hitam kepada setiap keputusan yang dibuat oleh Exco kerajaan negeri, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau pemimpin parti politik tertentu.

''Isu penyelewengan dan salah laku harus disiasat hingga ke akar umbi,'' katanya.

Isu padang PKNS tercetus apabila pembangunan pusat komersial yang dicadangkan perbadanan itu mendapat tentangan penduduk, selain terdapat percanggahan antara dua dokumen Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor (JPBDS).

Dokumen MBPJ menunjukkan padang itu diwartakan sebagai tapak perniagaan dan perkhidmatan manakala dokumen JPBDS pula menyatakan kawasan itu sebagai tanah lapang serta rekreasi.

Sementara itu, laporan akhbar baru-baru ini menyatakan bahawa Pengurus Besar PKNS, Othman Omar mengambil sikap berdiam diri dalam isu tersebut. Setakat ini tiada kenyataan daripada beliau walaupun isu tersebut panas dan menimbulkan kemarahan penduduk. - Sahabat-Gunung

No comments:

Post a Comment

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...