PASIR GUDANG – Facebook bagi mengesan seorang remaja sindrom down, yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu, dilancarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk M Munusamy.
“Kami akan berusaha menyebarkan maklumat kehilangan remaja terbabit menggunakan media baru termasuk Facebook,” katanya ketika ditemui selepas memberi bantuan kepada keluarga remaja itu, hari ini.
Saiful Sarmidi, 21, pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar rumah pada jam 8.30 pagi hari kejadian.
Remaja itu dilihat kali terakhir berada di Surau Haji Osman, Kampung Sungai Rinting C, kira-kira 50 meter dari rumahnya tengah hari hari kejadian.
Bapa mangsa, Sarmidi Subir, 48, merayu orang ramai membantu mengesan anaknya selepas usaha mencari di kawasan persekitaran menemui jalan buntu.
Katanya, sejak berpindah ke kawasan itu sejak tujuh tahun lalu, Saiful gemar meluangkan masa di surau dan hanya pulang ke rumah untuk makan.
“Saiful dijaga oleh anak saudara saya, Suhana Hasri.
“Suhana mendapati Saiful masih berada di surau berkenaan pada jam 12 tengah hari dan kehilangan Saiful hanya disedari jam 3.30 petang ketika Suhana mahu memanggilnya pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.
Sarmidi yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, anaknya jarang merayau-rayau jauh dari rumah mereka, malah dia cepat berasa penat apabila melakukan aktiviti luar.
Misteri kehilangan Saiful menggusarkan ibunya, Zaleha Rasidi, 43, yang gagal mengawal emosi dan menangis setiap kali bercerita mengenai kehilangan anak sulungnya itu.
Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, kali terakhir mereka berjumpa dengan anak sulung dari dua beradik itu adalah pada jam 8.30 pagi sebelum keluar bekerja.
Saiful yang berbadan gempal memakai kemeja-T berwarna merah dengan jaket kelabu, seluar jeans hitam dan topi berwarna kuning pada hari berkenaan.
Menurut ibunya, Saiful turut membawa beg kertas berwarna merah yang berisi sebotol minuman dan kuih jemput-jemput sebelum ke surau.
Sarmidi juga membuat laporan di Balai Polis Masai pada hari yang sama.
Dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu supaya menghubunginya menerusi talian 012-7513901 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, sepupu Saiful yang merupakan individu terakhir yang menemui remaja tersebut berkata, dia gemar bermain bersendirian dan menghabiskan masa di surau.
“Dia memang sentiasa berada di surau dan hanya akan pulang ke rumah apabila bekalan airnya habis.
“Pada hari kejadian, saya ada ke sana (surau) pada jam 12.30 untuk memanggil dia pulang untuk makan, tetapi dia berkeras mahu menunaikan solat zohor, sebelum pulang,” katanya.-SH
No comments:
Post a Comment
comment please.....