Konco-konco ku

Friday, May 18, 2012

ROGOL KEKASIH, REMAJA DITAHAN


KULIM - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana merogol kekasihnya yang berusia 15 tahun di rumahnya, kira-kira jam 1 pagi kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang masih bersekolah dikatakan keluar rumah pada tengah malam dan menunggu suspek di belakang rumah sebelum dibawa bersiar-siar di kawasan taman perumahan.

Mangsa melarikan diri dari rumah kemudiannya dipelawa suspek untuk bermalam di rumahnya. Apabila tiba di rumah, suspek membawa mangsa masuk ke bilik tidurnya dan melakukan hubungan seks.

Mangsa dan suspek kemudiannya tertidur sehingga dikejutkan seorang ahli keluarganya. Mangsa kemudiannya dihantar balik ke rumah.

Waris yang berang dengan sikap mangsa, meminta dia menceritakan apa yang berlaku sepanjang bermalam di rumah suspek.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuat, waris mangsa kemudian membawanya ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kes itu akan disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Menurutnya, walaupun mangsa membenarkan perlakuan seks itu dilakukan terhadapnya, polis masih mengklasifikasikan kes itu sebagai rogol kerana mangsa masih bawah umur.

“Saya menasihatkan kepada mana-mana pasangan remaja supaya tidak terlalu ghairah bercinta dalam usia terlalu muda sehingga terlibat dalam pelbagai masalah sosial.

“Hukuman bagi penjenayah rogol sangat berat, di mana ia melibatkan tempoh penjara yang lama dan sebatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan remaja lelaki supaya jangan sesekali melakukan sebarang perbuatan bersifatkan maksiat kerana mereka boleh ditahan sekiranya mangsa buat laporan polis.

Ghuzlan berkata, perlakuan jenayah rogol yang sering dilaporkan berlaku hari ini selalunya bersifatkan suka sama suka, tetapi ia menyalahi undang-undang sekiranya mangsa terlibat masih di bawah umur.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau dan memeriksa anak mereka, terutama pada lewat malam dan memastikan mereka tidak keluar rumah.

“Ibu bapa harus peka ke mana anak mereka pergi. Kita jangan sesekali mencabar undang-undang. Perbuatan maksiat yang kita lakukan, lambat laun akan diketahui orang juga. Apabila ini berlaku, mereka yang terlibat tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang,” katanya.-SH

No comments:

Post a Comment

comment please.....