Konco-konco ku

Saturday, February 2, 2013

NAJIB BERI SUMBANGAN TAMBAHAN KEPADA SYABAS UNTUK AIR RAKYAT SELANGOR!!


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi membantu mengatasi masalah air di Selangor.

Mengumumkan perkara itu pada pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) di Ampang, dekat sini, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata,  kerajaan meluluskan peruntukan itu bagi memastikan penderitaan rakyat di negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang itu diatasi segera.

Sambil mahu masalah air yang berlarutan itu ditamatkan segera, beliau berkata peruntukan itu adalah tambahan kepada dana RM606 juta yang diberikan kepada Syabas sebelum ini.

"Kalau tidak kerana peruntukan RM606 juta kepada Syabas yang diberikan kerajaan persekutuan, masalah air di Selangor adalah lebih berat sebenarnya.

"Kita tidak mahu rakyat di Selangor terus menjadi mangsa, dan kerana itu kerajaan telah setuju tambah peruntukan sebanyak RM120 juta," katanya.
  
Bercakap di hadapan lebih 10,000 penduduk daripada kawasan Parlimen Ampang dan Pandan, Perdana Menteri berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya berterusan memperjuangkan isu itu tetapi penyelesaian masalah itu sebenarnya boleh diputuskan rakyat.

"Saya mahu soal ini terus diperjuangkan oleh kita, tetapi lebih baik lagi apabila sampai masanya dan ia tidak lama lagi rakyat Selangor sendiri yang tentukannya," katanya merujuk kepada pilihan raya umum yang bakal tiba.

Beliau berkata, masalah air di Selangor harus diselesaikan segera kerana keadaan itu telah menjejaskan pelaburan ekonomi di negeri itu selain 430 projek pembangunan terpaksa ditangguhkan ekoran isu tersebut.

Sehubungan itu, Najib mahu supaya rakyat Selangor bijak menilai sekali gus tidak boleh membiarkan masalah itu daripada berterusan.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan BR1M kepada 30 penerima sebagai simbolik pelancaran daripada kira-kira 10,000 penerima melibatkan kawasan Parlimen Ampang dan Pandan.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat dan Penyelaras Parlimen Ampang Datuk Ismail Kijo. - Bernama

No comments:

Post a Comment

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...