Konco-konco ku

Tuesday, May 1, 2012

PELARASAN GAJI OLEH PM, MTUC AKAN TERUS SOKONG KERAJAAN.


SUBANG JAYA - Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Khalid Atan menyambut baik gaji minimum RM800 hingga RM900, yang diumumkan kerajaan malam tadi walaupun kadar itu masih rendah berbanding RM1,200 yang dituntut pihaknya sejak lebih satu dekad.

Sehubungan itu, badan induk kesatuan ini mahu kerajaan menyediakan Elaun Kos Sara Hidup (Cola) sebagaimana dinikmati oleh kakitangan sektor kerajaan.

Presiden MTUC penggal pertama ini berkata, kadar RM800 hingga RM900 adalah satu permulaan yang baik kepada pekerja-pekerja sektor swasta di Malaysia.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan gaji minimum bagi sektor swasta meliputi RM900 sebulan bagi pekerja di Semenanjung manakala RM800 di Sabah dan Sarawak.

"Banyak persoalan ditimbulkan. Ia suatu permulaan dan langkah yang baik, bukan seratus peratus tapi sudah memadai untuk golongan pekerja.

"Kami telah berjuang hampir 10 tahun untuk gaji minimum, ia bukan mati di angka RM900, ia akan disemak setiap dua tahun," kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada sambutan Hari Pekerja 2012 di Wisma MTUC di sini.

Menurut Najib, kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 hingga RM1,500. 

Namun untuk permulaan, katanya sebagaimana syor Majlis Perundingan Gaji Negara dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.

"Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 (yakni gaji pokok) kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing," katanya.

"Jika perkara itu berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan. Kerajaan tidak boleh
membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional," katanya.

Najib berkata kerajaan juga sedar, bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan
Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah tersebut.

Justeru kata Khalid, MTUC tetap akan berjuang bagi mendapatkan Cola yang kini hanya diberikan kepada kakitangan kerajaan. 

"Kerajaan perlu mengkaji semula mengenai Cola untuk tuntutan RM300 yang dibuat MTUC. Kami akan berjuang untuk kakitangan swasta supaya adil berdasarkan kenaikan kos sara hidup," kata Khalid, yang juga Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Perkayuan.

"Sebelum ini, Majlis Perundingan Gaji Negara, satu jawatankuasa teknikal ini terdiri daripada akademik, sosioekonomi membuat kajian bahawa implikasi gaji minimum selamat dan telah dibuat perundingan dengan Bank Dunia.

''Kadar RM900 adalah tahap selamat untuk semua orang.

"Jika kita letak tinggi, ia mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan baik," kata beliau.

Perhimpunan Hari Pekerja 2012 anjuran MUTC Bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan pada jam 9 pagi tadi dihadiri kira-kira 100 orang terdiri dari ahli-ahli kesatuan badan induk kesatuan sekerja ini.-SH

No comments:

Post a Comment

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...