Konco-konco ku

Wednesday, October 17, 2012

KELAMNYA MASA DEPAN PENDIDIKAN DI SELANGOR

LAPORAN Ketua Audit Negara Tahun 2011 (Audit 2011) menunjukkan Pendidikan Industri YS Selangor Sdn. Bhd. (PIYSB) iaitu syarikat subsidari Menteri Besar Selangor (MBI) yang bertanggungjawab mengendalikan pendidikan Unisel dan Inspens mengalami penigkatan kerugian selepas cukai 2008 - RM1.63juta, 2009-RM13.36juta dan 2010-RM39.69juta.

Syarikat milik kerajaan negeri itu dilaporkan mengalami peningkatan kerugian sebelum cukai sebanyak 198.1 peratus berbanding RM12.62 juta pada 2009.

Sejak kerajaan negeri diperintah oleh DAP-PKR-PAS pada 2008, prestasi pendapatan PIYSB semakin menurun. Menurut laporan itu, pendapatan PIYSB pada 2008-RM91.41juta, 2009-RM89.35juta dan 2010-RM71.82juta. Bukan itu sahaja kerugian terkumpul dan jumlah liabiliti PIYSB meningkat pada tahun 2010.

Apakah yang mahu diselindungkan oleh kerajaan Selangor? Apabila rakyat mempersoalkan tentang prestasi Unisel, unjuran pengambilan pelajar yang semakin menurun, tangkas Menteri Besar, Setiausaha Politik atau Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan menafikan perkara ini.

Audit 2011 telah menjelaskan kepada rakyat betapa lemahnya tadbir urus korporat PIYSB apabila Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan tidak ditubuhkan, audit dalam tidak berfungsi Mesyuarat Agung Tahunan tidak dijalankan dan prosedur operasi yang tidak diluluskan oleh Lembaga Pengarah. Audit 2011 mengesahkan episod kelamnya pendidikan di Selangor.

Yayasan Selangor ditubukan pada 1970 yang berfungsi merangka strategi pendidikan kepada masyarakat luar bandar telah membuat keputusan untuk merobohkan dua buah asrama pusatnya di Kampung Pandan atas tujuan pembangunan. Sedangkan matlamat asas penubuhan kedua-dua asrama tersebut adalah memberi peluang kepada anak-anak kampung belajar di sekolah terbaik di Kuala Lumpur.

Pembaziran, salah urus tadbir dan salah laku sumber manusia merupakan bukti kegagalan sebuah institusi yang sepatutnya menumpukan kepada kemudahan pendidikan berbanding dengan perkara-perkara lain. Pada masa sama, Yayasan Selangor menghadapi kes saman RM1 juta oleh bekas Timbalan Pengurus (Pendidikan) bersama 10 kakitangan lain.

Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Bagan Terap, Sungai Besar tempat anak-anak muda Selangor membangunkan kemahiran teknikal akhirnya ditutup. IKYS yang mula beroperasi pada Januari 2000 ditutup kerana tidak memberi keuntungan kepada Yayasan Selangor dan kerajaan negeri. IKYS dibina dengan kos RM25juta.

Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang bertujuan mengurangkan jurang kemiskinan menerusi strategi pendidikan kepada anak yatim dan miskin akhirnya dipinggirkan oleh Menteri Besar. Yayasan terpaksa melupakan hasrat untuk melihat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Serendah apabila Menteri Besar enggan membenarkan pembinaan tersebut.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi memutuskan tanah seluas kira-kira 323.7 hektar yang dilucutkan hak oleh kerajaan negeri akhirnya dipulangkan kepada Yayasan tersebut.

Unisel dengan siri-siri kekalutan pentadbirannya menyebabkan institusi itu bukan lagi menjadi pilihan pelajar. Terlalu banyak insiden politik yang menyebabkan imej Unisel terjejas.

Pelantikan Ahli Parlimen PKR - Merbok Kedah, Datuk Rashid Din memberi isyarat seolah-olah sudah tiada lagi ahli politik di Selangor yang berimej cendekiawan sedangkan Unisel adalah universiti milik kerajaan negeri.

Kita juga tidak lupa apabila seramai 3,000 pelajar Unisel yang tidak dapat menginap di kampus Bestari Jaya, terpaksa tidur di bilik rakan dan surau berikutan pengurusan kolej kediaman Unisel yang enggan membenarkan mereka menduduki asrama. Masalah itu didakwa berlaku kerana Unisel tidak melunaskan kos pengurusan kolej kediaman kepada pihak syarikat konsesi selama 17 bulan bagi kampus induk dan lapan bulan bagi kos pengurusan asrama.

Episod empat tahun di bawah kepimpinan Khalid Ibrahim memberi gambaran yang kelam kepada rakyat.

Semakin banyak yang dimiliki hilang dan semakin banyak yang dipegang tertiris.

BUDIMAN MOHD. ZOHDI ialah Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang)
-petikan dari Utusan Malaysia-

No comments:

Post a Comment

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...