Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas lebih meyakinkan berbanding belanjawan yang dikemukakan Pakatan Rakyat, kata seorang profesor ekonomi hari ini.
Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, belanjawan pakatan pembangkang yang hanya memberi fokus kepada aspek "memberi, memberi, memberi" tidak mempunyai kerangka yang jelas berbanding Bajet 2013 kerajaan.
"Apabila pakar ekonomi mempersoalkan belanjawan pembangkang secara terperinci, mereka gagal memberikan jawapan yang meyakinkan dan jelas, dari aspek ekonomi.
" Sebaliknya, pembangkang akan mendakwa pakar ekonomi bertanyakan soalan yang berbaur politik," katanya pada sesi perbincangan "Belanjawan 2013 dan Transformasi Ekonomi Negara" pada Wacana Majlis Profesor Negara (MPN) Pasca Belanjawan 2013: Mentransformasi Negara anjuran MPN di sini, hari ini.
Noor Azlan berkata demikian ketika diminta membuat perbandingan di antara Belanjawan 2013 dan belanjawan pakatan pembangkang oleh salah seorang peserta perbincangan itu.
Beliau yang merupakan salah seorang anggota panel perbincangan itu berkata, pelbagai pemberian yang dijanjikan oleh parti pembangkang dalam belanjawan itu dilihat hanya bertujuan memancing undi.
Noor Azlan berkata, Bajet 2013 yang dibentangkan pada Jumaat lepas adalah begitu menyeluruh dan mengandungi pelan dan strategi yang jelas terutama dalam membantu semua golongan masyarakat dan pelbagai sektor.
Beliau juga turut mempersoal hasrat pakatan pembangkang untuk menurunkan harga kenderaan kerana ini akan hanya menambahkan bilangan kenderaan di jalan raya dan sekali gus menambah kesesakan.
"Lebih baik tingkatkan sistem pengangkutan daripada mengurangkan harga kenderaan. Nanti lebih banyak kenderaan daripada jalan raya," jelasnya.
Noor Azlan berkata, ini dapat dilihat di negara-negara maju di mana rakyatnya tidak perlu memiliki kenderaan kerana sistem pengangkutan negara berkenaan begitu efisien.
Beliau berkata, adalah lebih baik Malaysia mencontohi sistem pengangkutan awam negara maju daripada menurunkan harga kenderaan.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Fuad Mohd Jali berkata, Bajet 2013 menunjukkan komitmen Perdana Menteri untuk merealisasikan aspirasi negara seperti yang dijanjikannya sebelum ini.
Bajet 2013 membantu memberikan golongan tua dan muda di negara ini menikmati hidup yang lebih sejahtera, katanya.
Ia juga mampu memberi kesan positif terhadap pandangan rakyat kepada kerajaan, katanya dalam perbincangan kedua bertajuk "Mentransformasikan Sosio Politik Negara".
"Malah sebelum Bajet 2013 dibentangkan, transformasi yang dilakukan kerajaan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) sudah menunjukkan hasil positif," katanya. - Bernama
Assalam Bro
ReplyDeleteTak payah tanya pakar ekonomi... Anak aku yang berumur 10 thn pun tahu puak pembangkang cakap tak serupa bikin... Mana tak sampah depan rumah pun tak berangkut... Mana pergi duit cukai yang dibayar kepada MBSA tu...?
Wasalam...
ReplyDeletehahahaha...betul jugak tu...