Konco-konco ku

Thursday, August 15, 2013

100 HARI PAKATAN SELANGOR MEMERINTAH, APA YANG BARU??

YB Budiman Mohd Zohdi
ADUN Sungai Panjang
PADA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sejumlah 2 juta pengundi di Selangor telah turun ke pusat-pusat mengundi. Mereka telah membuat keputusan parti mana yang membentuk kerajaan di Selangor pada 5 Mei lalu.

Semua telah mengetahui keputusannya. Ia tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN), sebaliknya puak pakatan yang berjaya membentuk kerajaan apabila memenangi 44 kerusi dengan pecahan 15 (Pas), 15 (DAP) dan 14 (PKR).

Pada PRU-13, pakatan gagal mempertahankan kerusi Kota Damansara dan Bukit Malawati. Namun mereka berjaya menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Sabak, Taman Templer, Tanjung Sepat, Paya Jaras, Sri Serdang, Kuala Kubu Baru, Sementa, Morib dan Sungai Pelek.

Selepas PRU-13 selesai, Selangor muncul sebagai negeri yang paling lewat mengumumkan Menteri Besar. Ini disebabkan kelewatan pihak pakatan mengemukakan senarai calon Menteri Besar kepada pihak istana. Akhirnya hanya satu calon yang dikemukakan.

Calon tersebut ialah Tan Sri Khalid Ibrahim yang pada PRU-13 telah berpindah dari kawasan panas iaitu DUN Ijok ke kawasan lebih selamat di Pelabuhan Kelang. Walaupun terdapat pelbagai protes dalaman PKR termasuk pelbagai cadangan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas yang dilantik sebagai Menteri Besar, tetapi beliau tetap dilantik semula.

Pas dikatakan lebih berhak mendapat jawatan itu kerana mereka ada 15 wakil di DUN berbanding PKR hanya 14. Tetapi pelantikan semula Khalid telah mengetepikan semua rasional tersebut.

Dalam PKR sendiri, terdapat suara-suara yang tidak mahukan Khalid sebagai Menteri Besar. Sebaliknya mereka mahukan Azmin Ali sebagai Menteri Besar kerana jawatannya dalam parti lebih kanan iaitu Timbalan Presiden PKR. Tetapi semua bantahan tersebut tidak memberikan sebarang bekas.

Sebaik-baik sahaja Khalid dilantik ke jawatan tersebut, tindakan pertama beliau ialah menggugurkan dua exco lama daripada senarai exco kerajaan negeri yang baharu. Mereka yang digugurkan ialah Yaakob Sapari (Kota Anggerik) dan Xavier Jayakumar (Seri Andalas).

Bagi pihak BN, proses demokrasi dan pilihan yang dibuat oleh rakyat diterima dengan perasaan terbuka. Kegagalan BN untuk merampas semula Selangor diterima dengan lapang dada. Tidak seperti kerajaan pakatan yang terus-terusan mempertikaikan keputusan PRU-13. Mereka memperkenal istilah 'undi popular' sebagai asas mempertikaikan keputusan tersebut.

Dalam masa yang sama mereka mengetahui prinsip 'First Past The Post' dan perwakilan berdasarkan mengikut bahagian pilihan raya. Kemenangan calon ditentukan dengan berdasarkan majoriti mudah. Parti yang menang berdasarkan majoriti kerusi pula (biarpun dengan satu kerusi) akan membentuk kerajaan.

Di Selangor, berdasarkan undi DUN, BN mendapat 693,956 undi (40%) berbanding Kerajaan Pakatan yang mendapat 1,050,665 undi (60%). Jika berdasarkan kepada logik pakatan seperti yang selalu mereka hebahkan pada ceramah-ceramah, sepatutnya BN di Selangor mendapat 22 kerusi, bukannya 12 kerusi yang ada sekarang ini. Itu kiraan jika berdasarkan undi popular yang dicanang oleh pakatan.

Kini, sudah lebih 100 hari Kerajaan Pakatan memerintah, namun masih belum ada perkhabaran baharu atau gembira buat rakyat Selangor. Terutama daripada pelaksanaan manifesto pakatan pada PRU-13.

Rakyat masih tertunggu-tunggu untuk merasai hasil daripada pelaksanaan manifesto tersebut. Tetapi sepatutnya rakyat Selangor tidak perlu mengharap apa-apa daripada manifesto tersebut kerana awal-awal lagi sudah ditegaskan bahawa ia bukan satu janji. Maknanya, jika sudah bukan janji maka tentunya tiada jaminan pelaksanaan.

Sidang DUN Selangor pula telah berakhir pada awal Julai lalu. Sidang itu menjadi kritikan awam apabila Menteri Besar membentangkan enakmen perbelanjaan tambahan sebanyak RM761 juta.

Tindakan ini dikritik kerana tanpa angin dan tanpa ribut, tiba-tiba kerajaan negeri membentangkan perbelanjaan tambahan. Jika diperhatikan suasana sekeliling, tiada malapetaka besar atau krisis ekonomi yang menuntut kepada satu perbelanjaan luar jangka.

Tindakan ini memberi gambaran bahawa Kerajaan Pakatan gagal merancang penggunaan wang secara berhemah dan bertanggungjawab. Apatah lagi, ini adalah mesyuarat pertama bagi penggal pertama persidangan DUN.

Sebahagian besar wang dalam perbelanjaan tambahan tersebut adalah sebagai pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi tujuan pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad.

Kira-kira RM80 juta diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi mengambil alih tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membangunkan projek Datum In-City.

Persoalannya mengapakah entiti perniagaan tersebut tidak menggunakan sumber kewangan sendiri atau menggunakan instrumen pinjaman kewangan dalam membiayai urusan perniagaan mereka?

Mengapakah wang rakyat harus digunakan dalam menjalankan operasi perniagaan mereka? Sedangkan kedudukan kewangan syarikat-syarikat itu dikatakan dalam keadaan kukuh.

Rakyat juga tentunya akan terus mengingati 10 perkara dalam aku janji Khalid, yang antara kandungannya ialah memelihara prinsip rukun negara, kedaulatan institusi raja, agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu, serta perpaduan kaum.

Rakyat menanti dan mahu melihat sejauh mana ikrar dalam aku janji itu akan dilaksanakan. Atau itu semua sekadar janji-janji manis di bibir yang tidak akan kunjung tiba.

Bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor pula, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negerinya telah dan akan terus bekerja untuk membela dan mengambil hati rakyat.

Pelantikan Datuk Seri Noh Omar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor tentunya akan memberikan fokus kepada barisan pengurusan untuk terus bersedia bagi menghadapi PRU-14. Inilah masa untuk bersatu hati dan tindakan. - Utusan


3 comments:

  1. Rakyat selangor tak mahu BN dan Umno aja..sebab lu fikirlah sendiri

    ReplyDelete
    Replies
    1. melayu selangor mau dap shj lu pikir lah sendiri

      Delete
  2. apa lagi najib mau?

    ReplyDelete

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...