Konco-konco ku

Sunday, August 4, 2013

MELAYU HARUS KEMBALI BERSATU DEMI SURVIVAL HIDUP DI AKHIR ZAMAN!!



Sebenarnya aku dah letih bila bercakap soal politik tanah air ini, namun di sudut hati kecil aku masih lagi berkata jangan berhenti dalam perjuangan dunia penulisan sehingga impian yang selama ini aku pendam dan angankan tercapai. Seorang sahabat juga pernah menasihati aku ketika aku menyatakan hasrat untuk berhenti berblogging, “jangan berhenti selagi Melayu itu tidak boleh hidup dengan subsidi.”

Ya! Benar dan tepat pada masanya apabila sahabat aku melontar kata-kata nasihat sedemikian rupa. Melayu tak akan pernah berpuas hati, tak akan pernah bersenang hati apabila segala subsidi yang diberikan oleh kerajaan yang sedia ada ini diberhentikan. Subsidi minyak, subsidi gula, subsidi gas, subsidi beras, subsidi tepung dan segala bagai jenis subsidi yang selama ini orang Melayu malah rakyat bertuah bumi Malaysia ini perolehi hasil dari tangan yang memberi.

Melayu ini penuh dengan sifat hasad dengki. Penuh dengan dengki khianat. Penuh juga dengan segala bagai ilmu-ilmu khurafat yang digunapakai untuk mengecapi kejayaan. Tak dinafikan, walaupun aku sebagai seorang Melayu aku terpaksa akui hakikat tersebut.

Beredarlah kebumi mana sekalipun. Meratalah ke segenap pelosok mana pun, dah kalau namanya Melayu tetap masih ada sifat sebegitu. Tetap memilih bulu dalam bersahabat, tetap menilik nasib atas nasib orang lain. Masih juga mengharapkan bantuan orang lain walau sudah berjaya di puncak. Masih juga punyai sikap hasad dalam diri jika ada individu Melayu lain yang bakal berjaya mengatasi mereka. Itu antara sikap Melayu.
Kenapa asyik tertulis sikap negative orang Melayu? Adakah sudah tidak ada sikap positif yang boleh diambil nilai baik, yang boleh dijadikan contoh sebagai panduan dalam kehidupan? Ada. Sikap orang Melayu masih ada berbaki kebaikan. Berbaki sifat pemurah, peramah, baik hati, suka membantu tetapi sejak akhirulzaman kini sikap negatif la yang banyak menjadi ikutan anak muda. Tak senang dengan kejayaan bangsa sendiri telah diterapkan dalam nilai diri setiap remaja. 

Tidak perlu rasanya hendak menuding jari menuduh atau menunjuk orang lain. Sifat menyalahkan orang lain umpama menuding satu jari telunjuk kepada orang lain, walhal empat jari sendiri masih menunjukkan ke arah diri sendiri. Sampai bila kita akan terus bersikap begini? Sampai bila Melayu nak maju kalau sikap begini masih disimpan? Dan sampai bila pula orang Melayu hendak menjadi paling berjaya di Malaysia bumi sendiri jika sikap menarik kaki lawan ke bawah diteruskan? Fikirkan bersama apa rasionalnya perbuatan orang Melayu.

Walau berbeza keturunan, susur galur darah, bahasa ibunda, Melayu itu tetap masih satu. Di dalam perlembagaan sendiri sudah termaktub yang apabila seseorang individu itu memeluk agama Islam, bercakap bahasa Melayu, mempraktikkan nilai-nilai Melayu dalam kehidupan sehari-hari maka individu sudah masuk dalam bangsa Melayu. Tolak ketepi sebentar darah Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Arab, Cina, India, Mamak, Pakistan, Serani, Kampar, Siam kerana Melayu itu sudah bersatu.

Persoalan yang amat mudah untuk dipersoalkan sehari-hari. Bilakan Melayu itu hendak bersatu? Adakah ideology politik masing-masing menjadi penghalang untuk terus bersatu? Adakah mazhab fahaman agama menjadi tembok penghalang untuk terus bersatu? Kita masih menunggu lagi apa kata cerdik pandai. Sama ada bubarkan parti politik dan bernaung dibawah satu pemerintahan iaitu Sultan Melayu ataupun tukar system Malaysia kepada pemerintahan republic. Pilih salah satu dan bincangkan bersama demi survival orang Melayu di Malaysia.

1 comment:

  1. Betul tu sdr. Jika kita orang-orang melayu masih lagi tak bersatu maka ia akan ditindas di tanah air sendiri.

    http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/05/survival-melayu-ke-mana-haluan-kita.html

    ReplyDelete

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...