Konco-konco ku

Tuesday, December 24, 2013

ABD. RAHIM MOHD RADZI DILANTIK KSU KKMM BERKUATKUASA 1 JANUARI 2014

PUTRAJAYA 24 Dis. - Datuk Seri Abd. Rahim Mohd Radzi dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia baharu menggantikan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf yang tamat kontrak pada 4 Oktober lalu.

Sebelum ke perlantikan baharu bermula 1 Januari tahun hadapan itu, Abd. Rahim merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini berkata, kelayakan, pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki Abd. Rahim membolehkan beliau memimpin serta meneruskan kecemerlangan kementerian tersebut.

"Abd. Rahim, 56, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Malaya (UM).

"Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 3 Januari 1983 serta berpengalaman dalam bidang keselamatan dan pengurusan menerusi karier perkhidmatanya," katanya.

Pada masa sama, Ali turut mengumumkan perlantikan Datuk Mohamad Khalid Shariff sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri baharu mulai 1 Januari tahun hadapan bagi menggantikan Abd. Rahim.

Sebelum ke perlantikan baharu Mohamad Khalid merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan.

"Mohamad Khalid, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dari UM.

"Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 1 Disember 1981 dan berpengalaman dalam bidang keselamatan, perolehan dan kewangan, pembangunan serta pengurusan menerusi karier perkhidmatannya," katanya. - NadiRakyat.net -

No comments:

Post a Comment

comment please.....