Konco-konco ku

Thursday, November 13, 2014

MENJELANG 50 HARI PENTADBIRAN MB SELANGOR BARU - BUDIMAN ZOHDI

PADA 12 November lalu telah lebih 50 hari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamad Azmin Ali memegang jawatan Menteri Besar (MB) Selangor setelah mengambil alih daripada penyandangnya sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Satu peralihan kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri yang boleh dianggap sebagai paksaan kerana Abdul Khalid dipaksa meletak jawatan setelah dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan parti itu.

Mungkin sesetengah orang menganggap tempoh itu tidak memberi apa-apa signifikan. Ada yang menganggap masih terlalu awal, terlalu muda untuk melihat keberkesanan kepemimpinan Mohamed Azmin.

Namun, bagi sebilangan besar rakyat Selangor tempoh berkenaan menjadi kayu pengukur terhadap prestasi, keberkesanan dan keikhlasan Mohamed Azmin sebagai MB selain mahu melihat apakah limpahan kemakmuran yang boleh dirasai di bawah pentadbiran negeri yang baharu ini.

Dalam tempoh tidak sampai 100 hari itu apakah nikmat kemakmuran yang dibawa dan dilaksanakan oleh Mohamed Azmin kepada rakyat Selangor? Apakah program-program khusus yang telah diumumkan oleh MB berkenaan yang mampu memberikan berita gembira kepada seluruh rakyat setakat ini? Nampaknya tidak ada lagi.

Walaupun masih baharu memegang jawatan itu, tetapi sekiranya benar Mohamed Azmin ada idea dan wawasan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Selangor, dalam tempoh 50 hari ini sudah tentunya beliau sudah dapat memberi bayangan mengenai corak pembangunan yang mahu dilaksanakan yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat Selangor di bawah kepimpinannya.

Apabila Abdul Khalid berundur, rakyat sudah tentu mahu melihat idea yang lebih bersinar, yang lebih terang serta yang lebih mantap daripada Mohamed Azmin.

Jika tidak, apa gunanya PKR bersusah-payah menyingkirkan Abdul Khalid. Apa yang jelas dapat dilihat, MB sekarang ini hanya meneruskan pelaksanaan program sedia ada. Mohamed Azmin hanya meneruskan perancangan dan idea-idea daripada pentadbiran Abdul Khalid sebelum ini.

Ini termasuklah meneruskan perjanjian air dan pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex). Sedangkan kedua-kedua perkara itu telah dijadikan sebagai alasan oleh PKR untuk menggulingkan Abdul Khalid sebagai MB sebelum ini.

Kita tidak tahu apakah keputusan Mohamed Azmin meneruskan kedua-dua projek tersebut kerana wujudnya kesedaran MB itu terhadap masalah sebenar rakyat Selangor ataupun sekadar hipokrasi politik untuk menjatuhkan bekas MB sebelum ini.

Tidak ada siapa boleh menafikan bahawa Mohamed Azmin telah terlibat secara langsung dalam pentadbiran Selangor setelah menjadi ADUN Bukit Antarabangsa.

Beliau menang kerusi tersebut dalam dua pilihan raya umum masing-masing pada tahun 2008 dan 2013. Malah, beliau juga merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor yang sudah tentunya mempunyai saluran terus dalam menyuarakan pandangannya dalam pentadbiran negeri ini sebelum ini.

Ini bermakna, Mohamed Azmin sudah sedia maklum mengenai pentadbiran Selangor termasuklah masalah-masalah yang sebenar dihadapi oleh rakyat negeri ini. Beliau ada pengalaman, ada pengetahuan dan tahu selok-belok dan masalah dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada itu sepatutnya telah menyediakan asas yang cukup baik untuk beliau merancang projek dan program sebaik sahaja dilantik menjadi MB.

Sekarang beliau menjadi MB dan tidak ada alasan bagi beliau menunggu terlalu lama apatah lagi membuat penilaian keadaan bagi melaksanakan dasar baharu untuk rakyat negeri ini.

Walaupun MB yang baharu ini cuba menggambarkan dirinya serta mahu bekerja seperti Presiden Indonesia, Joko Widodo atau ’Jokowi’ dengan mengambil pendekatan lebih banyak turun padang, namun beliau sebenarnya tidak boleh lari atau terlepas daripada ‘dibelenggu’ dengan janji-janji pada pilihan raya umum sebelum ini.

Sebagai contoh dalam soal pendidikan, pada pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang memancing hati rakyat supaya menyokong mereka dengan menawarkan pendidikan percuma selain membatalkan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditanggung oleh graduan lepasan pengajian tinggi.

Adakah janji itu ditunaikan? Atau sekadar menanam tebu di bibir pada musim pilihan raya? Kenapa janji ini tidak dibangkitkan lagi oleh pakatan pembangkang yang telah memenangi beberapa negeri termasuklah di Selangor ini?

Mengapa janji ini tidak dilaksanakan di Selangor khususnya melibatkan para pelajar di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, Universiti Selangor (Unisel) ataupun membiayai yuran setiap anak-anak Selangor yang melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Akhirnya, persoalan itu terjawab dengan sendirinya setelah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 5 November lalu mengakui sendiri bahawa bukan mudah untuk menyediakan pendidikan percuma seperti yang dijanjikan oleh parti yang diwakilinya sebelum ini. Hujah Nik Nazmi dengan pendapatan kerajaan negeri sekitar RM2 bilion maka kerajaan negeri tidak mampu memberikan pendidikan percuma berdasarkan implikasi kewangan.

Melihat daripada jawapan Nik Nazmi itu mungkin bolehlah dianggap bahawa janji pendidikan percuma pakatan pembangkang kepada rakyat Selangor sebelum ini hanyalah omong-omongan kosong sekadar mahu mendapat undi semata-mata tanpa ada asas perkiraan yang tepat. Memang tidak bertanggungjawab.

Nampak sangat para pemimpin PKR ini membuat janji tanpa menilai adakah mereka mampu menunaikannya. Mereka ini sekadar cakap lepas.

Apabila membicarakan mengenai manifesto pakatan rakyat pada pilihan raya umum yang lalu, ia mungkin boleh dikira sebagai garis panduan dasar pentadbiran pakatan pembangkang yang mana dalam konteks Selangor, maka MB sedia ada sudah tentu secara automatiknya tertakluk kepada dasar-dasar serta janji-janji yang digariskan dalam manifesto tersebut.

Begitu juga dalam soal pengangkutan awam, berdasarkan manifesto pakatan pembangkang untuk Selangor pada pilihan raya umum lalu, mereka menjanjikan untuk membina Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu di Shah Alam.

Malah, janji itu termasuklah menyediakan pengangkutan awam percuma dan mesra pengguna di kawasan Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Petaling Jaya dan Kajang.

Hakikatnya, janji-janji itu sama nasibnya dengan pendidikan percuma, kelihatan tiada satu pun dilakukan oleh kerajaan negeri. Justeru, Mohamed Azmin dalam saat-saat kegembiraannya menduduki jawatan MB, jangan sesekali buat-buat lupa akan janji itu.

Jangan ingat rakyat Selangor ini pelupa, mereka mungkin tidak bersuara sahaja. Pentadbiran negeri tidak boleh berlandaskan pada pendekatan retorik semata-mata. Jumpa di Sidang DUN Selangor bermula 24 November 2014.

PENULIS ialah Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional Selangor

3 comments:

  1. Letak le mb sapa2 pun... yang sayu tahu sejak Pakatan memerintah ...kawasan saya duduk ni rumput da jadi lalang ... hak islam dan hak istimewa bumiputera mula dipertikaikan... suara mengaji alquran sebelum azan tak lagi berkumandang... waktu solat jumaat... segelintir kaum tu ghairah ambil gambar kesesakan lalu lintas di kawasan masjid utk bantahan.. wakil rakyat yg sah anti islam bermuka2 dgn penampilan mesra islam. Wakil rskyat lebih sibuk berpolitik dari berkhidmat utk rakyat.

    ReplyDelete
  2. Dan kesimpulannya... blum ade kesedaran betapa pentingnya orang Melayu, bumiputera dan Islam bersatu seperti kaum yang satu lagi berjaya... kerana persatuan mereka.

    ReplyDelete
  3. NAK TANYA YB. MCA DGN MIC SG BESAR TU ADA LAGI KE ?

    ReplyDelete

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...