Konco-konco ku

Wednesday, April 25, 2012

WARGA FELDA AKAN PERGI HAJI BERAMAI-RAMAI! TAK CUKUP BAIK KE?


Segala masalah yang mengganggu fikiran para peneroka apabila cadangan untuk menyenaraikan FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) diumumkan, kini boleh dikatakan selesai sepenuhnya.  

Peneroka sebelum ini telah ‘diganggu’ oleh pembangkang yang menyebarkan berita-berita palsu dan berniat jahat bagi menggagalkan penyenaraian ini.  Alasan mereka kononnya Felda tidak layak disenaraikan berdasarkan rekod kewangan syarikat tersebut, serta penyenaraian itu akan merugikan peneroka. 

Kemuncak usaha jahat pembangkang ini ialah menggagalkan mesyuarat yang bertujuan mendapatkan pandangan peneroka serta memfailkan injunksi di mahkamah bagi menghalang anak syarikat Felda, Felda Plantation, memajakkan tanahnya seluas 360,000 kepada Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

FGVH bukanlah syarikat kecil atau kampungan yang terletak di atas rumah kedai berderet di sebuah pekan kecil. FGVH adalah syarikat bertaraf dunia dengan rekod tidak pernah rugi.  Syarikat ini menjalankan perniagaan global seperti perniagaan minyak dan lemak, oleokimia, logistik dan perkhidmatan serta beroperasi di 12 negara, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan dan Asia Barat dengan memiliki lebih 80 anak syarikat aktif.   Hari ini, ramai anak-anak Felda kini bekerja di syarikat-syarikat Felda di luar negara malah ada juga yang menjadi tenaga pengajar mengenai proses-proses pembuatan minyak sawit kepada orang-orang asing tersebut.  

Keuntungan terkumpul daripada operasi luar negara sahaja sejak ditubuhkan pada tahun 2009, kini berjumlah RM569 juta.   

Bagi penyenaraian ini, lima buah bank pelaburan iaitu Maybank, CIMB, Morgan Stanley, JP Morgan dan Deutsche Bank telah dilantik untuk menguruskan proses penyenaraian, sementara audit pula akan dilakukan oleh Pricewaterhouse Coopers (PwC).  

Oleh yang demikian, menuduh FELDA ‘menempah maut’ melalui penyenaraian ini adalah tidak masuk akal sama sekali kerana tidak mungkin pihak yang telah berjaya membangun dan memperkasakan FELDA sehingga menjadi sebuah ‘empayar’ akan dengan sengajanya membuat keputusan yang tidak bijak dan merugikan.  

Apa yang pasti ialah pembangkang telah mengambil kesempatan atas kurangnya pemahaman peneroka mengenai proses penyenaraian dan pasaran saham serta memanipulasi fakta semata-mata untuk memburukkan kerajaan. 

Mujurlah ramai peneroka yang bijak dan mampu merasionalkan perkara ini.  Mereka tahu yang mana harus dipercayai antara pihak kerajaan yang telah banyak berjasa kepada mereka atau  pihak pembangkang yang hanya tahu berkata-kata.   

Menurut sumber-sumber dalaman, pada 8hb Mei nanti, Dato’ Seri Najib akan mengumumkan ‘durian runtuh’ yang telah dijanjikan kepada para peneroka.  Durian runtuh tersebut dikatakan cukup besar untuk membolehkan para peneroka menunaikan haji.  Jika benar, jangan pula ada yang lupa untuk memanjatkan rasa syukur ke hadhrat Illahi atas segala nikmat yang telah dikecapi.  

Walaubagaimanapun, memandangkan peneroka kini berpendapatan agak lumayan, mungkin ada yang merasakan yang ‘durian runtuh’ tersebut tidak membawa makna yang besar.  Namun, apa yang lebih penting ialah hasil jangkapanjang di mana melalui penyenaraian ini, Felda juga akan mendapat manfaat dari segi pengurusan yang lebih professional sekali gus menamatkan persepsi kononnya syarikat ini dikuasai atau hanya mengikut telunjuk politik.  

Selain itu, ia juga akan dapat meluaskan lagi potensi jangkauan perniagaan dalam berbagai bidang lain.   Dengan itu, Felda serius menjangkakan pendapatan berlipat ganda di masa hadapan.  

Pastinya, keuntungan berganda itu akan berbalik ke bahu para peneroka dan generasi masa depan mereka bukan sahaja dalam bentuk wang tetapi juga dalam bentuk berbagai-bagai kemudahan dan program yang mampu memacu warga Felda ke satu tahap yang jauh lebih tinggi.  Tidak mustahil, generasi Felda di masa hadapan akan menjadi warga contoh iaitu berfikiran kehadapan, berdaya saing serta mempunyai jati diri yang kuat. 

No comments:

Post a Comment

comment please.....