Konco-konco ku

Friday, May 6, 2016

'DOAKAN SELAMAT...KE BETONG' #PRAY4MISSINGHELI

SUNGAI BESAR - Timbalan Menteri, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang dilaporkan hilang ketika menaiki sebuah helikopter sempat memuat naik status di Facebooknya yang memohon agar mendoakannya selamat mendarat di Betong, Sarawak.

Ahli Parlimen Sungai Besar yang menggunakan akaun identiti 'Nur Nin' memuat status itu di Kuching pada kira-kira jam 11 tengahari tadi.

Antara komen balas yang diterima pada status itu dikirim pemilik akaun Intan Asmari yang mendoakan agar dipermudahkan segala urusan.

Komen lain pada status itu, dikirim oleh Julak Bar.

"Semoga ALLAH beri keselamatan atas rahmat-NYA. Semoga diredai segala urusan, Amin.

Sementara itu, Noriah dalam komennya pada status itu membalas: "Amin, terima kasih semua," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kediaman Noriah di Sungai Besar mendapati suasana kediamannya lengang hanya terdapat ahli keluarga terdekat.‎

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Norhisham Mohamad berkata, pihaknya telah meletakkan seluruh pasukan penyelamat dalam keadaan siap siaga penuh.

Pihaknya sedang melakukan perincian lokasi terakhir helikopter berkenaan dikesan di kawasan Sebuyau, sebelum menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Antara yang akan digerakkan termasuklah pasukan khas menyelamat STORM, Pasukan Must dan Unit Udara Bomba. - Sinar Harian

DOA RAKYAT SUNGAI BESAR AGAR DATO' NORIAH KASNON DAN YANG LAIN SELAMAT. #HELIKOPTER

BERITA yang amat mengejutkan diterima sejak petang tadi. Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga Timbalan Menteri MIPC dikatakan hilang dari radar selepas bertolak dari Betong ke Kuching petang tadi.

Dikhabarkan cuaca tidak berapa elok dan helikopter tersebut terputus komunikasi dengan menara kawalan selepas 20 minit berlepas.

Turut berada dalam helikopter tersebut adalah suami Dato' Noriah, KSU MITC, Pengerusi MPOB yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan juga pengawal peribadi kepada Dato' Noriah.

Sehingga artikel ini ditulis, masih belum lagi ada apa-apa berita walau usaha mencari dan menyelamat telah digerakkan sejak jam 9.00 malam tadi.

Marilah sama-sama kita berdoa agar YB Dato Noriah dan penumpang yang lain selamat.