Konco-konco ku

Sunday, February 12, 2012

PAS TERENGGANU JUGA AKAN LETAK "WINNABLE CANDIDATE"

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu bakal menampilkan kelainan dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang apabila dijangka mengetengahkan lebih ramai calon berimej ‘muda dan mesra’.

Pesuruhjayanya, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, calon-calon yang diketengahkan itu akan dipilih berdasarkan kebolehan mereka untuk membawa kemenangan kepada parti .

Beliau bagaimanapun mengakui tidak mengetepikan calon-calon lama yang masih berstatus ‘calon boleh menang’, sambil berharap calon yang ditonjolkan kelak mendapat penilaian positif dan sambutan baik daripada pengundi di negeri ini.

“Dari segi calon, tidak semestinya yang muda, ada kombinasi. Saya hendak pinjam istilah ‘winnable candidate’. Walaupun orang lama tetapi jika boleh capai kemenangan, kita tiada masalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Media bersama
Pesuruhjaya dan Pimpinan Pas Negeri di sini.

Menurutnya, walaupun kepimpinan memerlukan mereka yang bertenaga untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, beliau yakin calon lama juga mempunyai kepentingan tersendiri dalam menjalankan peranan kepada parti dan rakyat.

Ditanya sejauh mana perkara berhubung calon diputuskan setakat ini, beliau bagaimanapun mengakui perkara itu belum dimuktamadkan.

Jelasnya, sehingga kini pihaknya mempunyai senarai cadangan nama calon yang belum disenarai pendek dan pihaknya masih menerima cadangan nama calon sehingga kini.

Di samping pemilihan mengikut kriteria yang digariskan Majlis Syura Ulama Pas, beliau berkata, proses pemilihan tersebut agak teliti bagi memastikan calon Pas istiqamah dengan perjuangan parti.

“Kita teliti dari segi penapisan. Selain boleh menang, kriteria calon mengikut panduan Majlis Syura Ulama iaitu tidak terlibat dengan dosa besar dan tidak kekal dengan dosa-dosa kecil. Inilah yang kita tapis. Berdasarkan yang lepas-lepas, calon yang dikemukakan cukup tarbiah tidak timbul soal lari, jadi lebih teliti sikitlah,” katanya.
-SINARHAIRUAN

No comments:

Post a Comment

comment please.....