JAKARTA – Masa depan penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali bersama kelab Pelita Jaya FC terjawab semalam.Seperti dijangka, pemain kelahiran Kajang, Selangor itu secara rasmi menyambung kontrak selama dua tahun lagi dengan kelab tersebut.
Kontrak dua tahun itu menawarkan pakej bernilai lebih RM2 juta termasuk pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai yang dibayar oleh kelab, tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang disediakan oleh kelab dan penghormatan sebagai kapten Pelita Jaya FC.
Nilai kontrak baharu itu bertambah sekali ganda berbanding kontraknya sebelum ini yang berakhir kelmarin (31 Januari 2012).
Pengumuman mengenai lanjutan kontrak Safee dibuat oleh Pelita Jaya FC di Jakarta semalam pada majlis yang turut dihadiri Pengurus Besar Pasukan, Iwan Budianto, Pengurus Pasukan, Lalu Mara dan Safee sendiri.
Pengurus Safee, Zakaria Rahim berkata, dalam kontrak baharu itu, Safee juga akan menerima pakej tambahan image rights di mana pihak kelab akan mengusahakan untuk Safee mendapat commercial endorsement bagi pelbagai produk di seluruh Indonesia daripada syarikat-syarikat yang memerlukan imej Safee bagi tujuan pengiklanan dan pemasaran.
Safee juga akan diberi peluang bermain dengan mana-mana kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus apabila ada peluang dan sesuai dengan tempoh pendaftaran yang ditetapkan oleh liga di negara-negara berkenaan.
Selain Pelita Jaya FC, kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus, termasuklah Brisbane Roar FC di Australia yang akan bermain di AFC Champions League 2012, CS Vise di Belgium, kelab divisyen dua di Liga Belgium dan SAD Uruguay sebuah kelab remaja di Uruguay.
Pelita Jaya juga mempunyai hubungan yang amat akrab dengan beberapa kelab lain di dunia seperti lima kelab di liga Brazil, antaranya Flamengo FC dan beberapa kelab di Eropah terutama di Belanda, termasuk Ajax Amsterdam FC.
“Pelita Jaya Cronus pernah memiliki sebuah kelab Liga Perdana England iaitu Leicester City FC tetapi telah menjual pemilikannya di sana, namun mereka masih mempunyai hubungan yang amat akrab dengan kelab dan pengurusannya di sana,” kata Zakaria.
Beliau berkata, Safee juga dilantik sebagai Duta Sekolah Sepak Bola Pelita Jaya di Sawangan, Jawa Barat, Indonesia dan Akademi Sepak Bola milik Pelita Jaya, di mana pengurusan Safee sedang berbincang untuk pemberian saham pemilikan akademi itu demi masa depan Safee.
“Akademi ini sudah mempunyai 600 pelajar di Jakarta sahaja dan mempunyai cawangan di daerah lain di Indonesia. Kelab juga bersedia untuk membantu Safee memulakan perniagaan di Indonesia apabila beliau tamat bermain dengan Pelita Jaya atau menamatkan karier profesionalnya nanti,” kata Zakaria.
Pengurus Safee itu berkata, keputusan yang dibuat oleh Safee untuk terus bermain dengan Pelita Jaya adalah satu keputusan yang telah diteliti semasak-masaknya setelah mengambil kira pelbagai aspek dan risiko.
Selain Pelita Jaya, Safee juga mendapat beberapa tawaran lain antaranya Muangthong FC dan Buriram FC di Thailand, empat pasukan dari Malaysia antaranya Kelantan, Negeri Sembilan, Johor FC dan Johor selain pasukan Selangor yang sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja untuk Safee kembali ke pangkuan mereka.
Safee juga mendapat tawaran daripada pemilik Cardiff City FC untuk bermain di sana tetapi harus melalui proses bermain bersama kelab di Eropah yang mempunyai afiliasi dengan Cardiff City untuk tempoh sekurang-kurangnya satu tahun terlebih dahulu.
Selain itu Safee juga pernah mendapat tawaran untuk menjalani ujian bersama lima kelab di Jerman antaranya Eintract Frankfurt, SG Dynamo Dresden, namun, atas faktor kecederaan dan mengutamakan persiapan pasukan kebangsaan untuk memulakan kempen Pra Piala Dunia 2011 pada ketika itu, Safee terpaksa melupakan peluang keemasan itu, walaupun masih menyimpan cita-cita untuk bersama salah satu kelab di Eropah satu hari nanti. -KOSMO
No comments:
Post a Comment
comment please.....