Konco-konco ku

Monday, January 30, 2012

DISKUSI MUDA: EKSPRESI NEGARA KALA POLITIK

Negara, adalah hal yang tak pernah kita minta, tak pernah kita mohon. Kita (sebagai rakyat Malaysia) dilahir, terus-terus dengan negara. Kerana bukan sesuatu yang kita perjuangkan dari awal, maka kita sering alpa mengenai makna negara ini. Sebetulnya: apa makna negara ini?

Memang, jawapannya ialah: negara adalah sebuah representasi politik. Setiap dari perbezaan yang terdapat dalam sesebuah negara, itu akhirnya bertemu pada kepentingan bersama. Kepentingan itu yang dinamakan sebagai representasi politik. Tapi, sejauh manakah representasi politik itu benar-benar mewakili kehendak rakyat? Mungkinkah selama ini representasi yang kita dambakan itu hanyalah sebuah pseudo, yang cuba untuk mengelabui kita tentang apa yang terdapat dalam realiti semasa?

Kerana itu, kita perlu berbicara-semula tentang kata “kuasa rakyat” ini. Sebab, rakyatlah yang menjadi inti kepada negara. Rakyatlah yang memberi legitimasi kepada negara. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan “kuasa rakyat” ini? Adakah “kuasa rakyat” memang jadi landasan terhadap semua representasi politik, yang kemudiannya menghasilkan negara itu? Dan, bagaimana pula sekiranya “kuasa rakyat” tersebut dimanipulasi oleh kekuasaan, yang sudahnya menenggelamkan semua realiti dari aspirasi rakyat?

Atau, ke tahap yang lebih ekstrim lagi: apakah kita maseh perlu negara lagi? Sebab, beberapa sejarah menunjukkan betapa akhirnya negara jugalah yang mencekik setiap unit dalam masharakat. Negara, yang kita harap menjadi naungan untuk kita berteduh, akhirnya menjadi musuh yang terpaksa kita perangi hari-hari. Ini yang terjadi dalam kesah negara-negara fasisme. Di mana negara mula menindas rakyatnya, maka cita-cita murni dari tertubuhnya negara itu --dengan sendirinya—telah berakhir.

Wacana, sama ada untuk diteruskan konsep negara, atau dibubarkan negara, atau sebarang alternatif lain, adalah wacana yang harus kita bincangkan. Dari tingkat abstrak yang falsafi, kita harus turunkan wacana ini ke dalam bentuk nyata yang realistik. Ini adalah wacana masa depan, yang harus kita persiapkan awal-awal. Tatkala masharakat mula terpencar, mula kompleks, maka harus ada hal yang dapat mempersatukan kita dari terus bertelingkah. Jika negara maseh jadi harapan: persoalannya, negara yang bagaimana? Dan, jika bukan negara lagi yang jadi harapan: justeru apa alternatifnya? -frinjan

No comments:

Post a Comment

comment please.....