Pantun seloka penyeri majlis,
Pembuka penutup tak kira masa;
Tahniah pembahas sungguh kritis,
Usul dibahas berbalas pantun jadinya.
Regime Change tema terbaru,
Hasutan beracun musuh bangsa;
Jangan termakan pujuk dan rayu,
Kelak tergadai tanah tercinta.
Bersatu teguh bercerai roboh,
Kata azimat pusaka berzaman;
Alaf baru penuh penceroboh,
Rapatkan bangsa nusa kita tahan.
Berabad derita hidup terjajah,
Nikmati merdeka baru terasa;
Lagak bersantun bangsa Eropah,
Sandiwara menjerat bangsa merdeka.
Setiap permulaan ada akhirnya,
Menjadi peringatan kepada hamba;
Kuasa dan jawatan bukan segalanya,
Berkhidmat kerana bangsa dan negara.
Kepimpinan berganti amalan tradisi,
Tradisi UMNO gemilang budaya;
Pemimpin datang bersilih ganti,
Mewarisi perjuangan bangsa kita.
22 tahun mencurah bakti,
Untuk agama, bangsa dan pertiwi;
Kini masa untuk pergi,
Ketika UMNO gagah berdiri.
Semua berdoa menitis air mata,
Mengenang nasib anak bangsa;
Wahai Melayu jangan bersengketa,
Mengelakkan dari porak peranda.
Pemuda di kanan Puteri di kiri,
Wanita pula tengah teguh berseri;
Usah pentingkan diri sendiri,
Dulukan bangsa utamakan parti.
Para perwakilan dan semua ahli,
Bersetia semua bersatu hati;
Saya pergi Pak Lah ganti,
UMNO teguh sudah pasti.
Izinkan saya beredar pergi,
Memberi ruang pada Pemuda;
Melupai UMNO tidak sekali,
Terus berjuang walaupun bersara.
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad
PWTC - Kuala Lum,pur
21 Jun 2003
* Amanat kepada bangsa Melayu oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum mengakhiri ucapan penggulungan perbahasan terakhir beliau selaku Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 2003.
No comments:
Post a Comment
comment please.....