Konco-konco ku

Wednesday, September 28, 2016

'KAMI AKAN TURUN MENENTANG BERSIH 5'

MERAH V2 akan turun ke setiap enam lokasi pelancaran BERSIH 5 bagi memastikan misi menggulingkan kerajaan secara haram gagal direalisasikan.

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Dato' Jamal Md Yunos berkata, MERAH V2 tidak akan membiarkan BERSIH 5 bertindak mencemar demokrasi dengan menganjurkan perhimpunan haram yang bakal menggugat keselamatan negara.

"Kami Gabungan NGO Malaysia sepakat dan sebulat suara untuk menggerakkan MERAH V2 bagi membantah Himpunan Haram BERSIH 5.

"Kami akan turun ke setiap lokasi jelajah mereka sepertimana yang telah mereka umumkan semalam.

"Rakan-rakan kami sari setiap negeri yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat, termasuk Melayu, Cina, India serta Bumiputera dari Sabah dan Sarawak akan turut sama-sama dalam MERAH V2 untuk hadir ke semua enam lokasi pelancaran BERSIH 5," katanya kepada pemberita pada sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, MERAH V2 juga akan mengadakan satu perhimpunan di Pulau Pinang bagi membantah kepimpinan Lim Guan Eng yang terlibat dalam salah guna kuasa.

Menerusi kempen #TangkapLGE, pihaknya mengenalpasti beberapa sumber mengatakan bahawa Pulau Pinang menjadi gerakan paling utama perancangan kotor BERSIH 5.

"Dalam kempen bantahan kami, MERAH V2 juga akan turun ke Pulau Pinang sebagai lokasi bantahan pada hari yang sama untuk membuat bantahan terhadap Kerajaan Pulau Pinang.

"Kami juga akan melancarkan kempen #TangkapLGE atas pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa beliau," tegasnya.

Jamal menegaskan, BERSIH 5 terbukti hanya bertindak sebagai alat parti-parti pembangkang bertujuan bagi menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.

Katanya, MERAH V2 akan mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipilih secara demokrasi menerusi sistem Pilihan Raya.

"Mesej yang kami ingin sampaikan adalah BERSIH 5 ini hanyalah alat dan agen pihak pembangkang untuk berpolitik dengan menerapkan politik kebencian kepada kerajaan dan pemimpin-pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya yang dilaksanakan secara demokrasi dan mematuhi prinsip perlembagaan. 

"BERSIH 5 juga tidak mempunyai objektif perjuangan yang jelas, mereka hanya membawa isu-isu untuk mengelirukan pemikiran rakyat termasuk dakyah-dakyah mengenai 1MDB," ujarnya.

Semalam, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah akan melepaskan peserta konvoi BERSIH 5 konvoi dari Kota Baru pada 1 Oktober ini.

Konvoi selama tujuh minggu itu juga akan dilepaskan secara serentak daripada lima lokasi lain di lima buah negeri, meliputi 246 bandar, pekan dan kampung. - KitaiKini

No comments:

Post a Comment

comment please.....