Konco-konco ku

Friday, October 26, 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA DARI @NAJIBRAZAK


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan selamat menyambut Aidilhadha kepada semua umat Islam yang merayakannya esok.

"Semoga Aidiladha tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya dan Aidiladha yang akan datang akan menjadi lebih baik daripada tahun ini," katanya dalam perutusan yang dimuatnaik dalam blog 1Malaysia hari ini.

Beliau berharap agar Aidiladha diraikan dalam keadaan makmur, sejahtera dan penuh keberkatan sambil mengajak umat Islam menghayati konsep pengorbanan yang dituntut Islam, yang sanggup berkorban masa, wang ringgit, jiwa raga dan dan kepentingan diri bagi memperoleh keredhaan Allah.

Beliau berkata, konsep itu terkandung dalam Surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud :“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya ALLAH benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.”

Malaysia sendiri turut mendukung konsep pengorbanan dengan bertindak sebagai mediator bagi mengakhiri konflik berdarah lebih 40 tahun antara Manila dan Bangsamoro, katanya.

"Ini pastinya satu pengorbanan yang amat membanggakan," katanya dalam perutusan itu.

Najib berkata, kerajaan Malaysia mengambil pendekatan Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu, untuk memainkan peranan menjayakan pelan damai antara pihak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina baru-baru ini.

Melalui Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad SAW dengan puak Kafir Quraisy di Kota Makkah, umat Islam dapat mengerjakan haji pada tahun yang berikutnya.

"Iktibarnya, kita telah mengambil pendekatan yang sama dengan berperanan menjayakan pelan damai antara pihak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina baru-baru ini," katanya.

Kerajaan Filipina dan MILF telah memeterai perjanjian damai bersejarah pada 15 Oktober, dengan Malaysia sebagai pengantara, untuk menamatkan konflik yang berlarutan selama empat dekad di selatan Filipina.

Najib berkata, komitmen jitu dalam membantu menyelesaikan pelbagai konflik yang berlaku di sesebuah negara membolehkan Malaysia diiktiraf oleh dunia sebagai negara Islam yang progresif dan dinamik.

"Ini terbukti dengan pengiktirafan ulama terkemuka dunia iaitu Sheikh Yusuf Al-Qardhawi yang melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap usaha Malaysia yang konsisten menyokong dan membantu perjuangan rakyat Palestin selama ini," katanya.

Perdana menteri turut mengajak umat Islam di negara ini berdoa agar jemaah haji di Makkah dapat menjalankan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur serta kembali ke tanah air dengan selamat.

"Ibadah haji yang dilaksanakan pada setiap tahun ini membawa bersamanya seribu satu pengajaran dan pendidikan dalam kehidupan sejagat," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

comment please.....