KUALA SELANGOR 24 Mac - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta 25 peserta Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Taman Agroteknologi Bestari Jaya di sini supaya bertahan dan tidak mengosongkan tanah pertanian tersebut seperti diarahkan oleh kerajaan negeri.
Ini kerana, pihak kementerian akan menyediakan khidmat guaman bagi membela nasib mereka yang telah dianiaya selepas diberi notis untuk mengosongkan tanah pertanian itu bermula 14 Mac lalu.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya akan membela nasib para peserta TKPM kerana mereka tertakluk kepada perjanjian persefahaman yang dibuat antara Kementerian Pertanian dan kerajaan negeri pada 2000.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, mereka juga perlu mendapat pembelaan kerana telah membuat pelaburan besar untuk mengusahakan tanah seluas 141.6 hektar tersebut sejak 12 tahun lalu dan perlu melunaskan pinjaman bank.
"Sejak 2000, kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri telah membantu 25 peserta ini sehingga berjaya mengeluarkan hasil berjumlah RM25.3 juta dan mereka juga merupakan antara pembekal bahan pertanian di Lembah Klang.
"Tetapi apabila kerajaan negeri bertukar pemerintah, mereka sewenang-wenangnya mahu merampas tanah tersebut sedangkan ia telah diusahakan dengan susah payah.
"Kita akui tanah itu milik kerajaan negeri, tetapi kenapa bertindak kejam dan tidak menghormati perjanjian yang telah dibuat oleh pemerintah terdahulu semata-mata untuk kepentingan politik. Dahulu mereka kata kita lintah, tapi mereka dah macam drakula," katanya dengan nada sinis.
Noh berharap, kerajaan negeri mengadakan rundingan terlebih dahulu dengan peserta TKPM sebelum membuat sebarang keputusan.
"Sementara itu, saya minta semua peserta agar bertahan dan jangan kosongkan tanah dahulu," katanya.
Hari ini, seramai 25 peserta TKPM di Taman Agroteknologi Bestari Jaya membantah hasrat kerajaan negeri untuk merampas tanah yang pertanian yang diusahakan mereka sejak 12 tahun lalu.
Bagi menyuarakan bantahan tersebut, lebih 100 orang termasuk peserta TKPM, keluarga dan pekerja mereka mengadakan demonstrasi aman selama sejam di laluan masuk ke kawasan berkenaan bermula pukul 10.30 pagi.
No comments:
Post a Comment
comment please.....