Seorang lelaki yang didakwa sebagai ah long yang memberi pinjaman RM555,165 kepada Datuk Adam Rosly Abdullah bagi membeli sebuah rumah di Kampung Melayu, Ampang dekat sini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia tidak mengenali Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang itu.
Malah, Tan Hang Yuan, 31, berkata, dia tidak pernah menjalankan perniagaan memberi pinjaman atau menjadi ejen kepada mana-mana ah long.
Hang Yuan yang merupakan pengurus pemasaran di sebuah kolej swasta berkata, dia juga tidak pernah berjumpa dengan individu yang dikenali sebagai Datuk Adam Rosly.
“Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk dipinjamkan dan saya tidak pernah menjadi pihak pemberi pinjaman kepada Datuk Adam Rosly.
“Malah, tanda tangan di dalam dokumen perjanjian yang tertera nama saya dan Datuk Adam adalah bukan tanda tangan saya,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan hari kedua terhadap Adam Rosly.
Adam Rosly, 31, yang diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Datuk Sulaiman Ismail dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi pernyataan palsu dan empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM, Februari tahun lalu.
Keenam-enam pertuduhan itu didakwa dilakukan di Ibu pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, pada pukul 9 pagi dan 12.15 tengah hari, 10 Februari 2017 serta pukul 9 pagi dan 2 petang, 22 Februari tahun sama.
Pertuduhan memberi pernyataan palsu dikemukakan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 manakala pertuduhan mengemukakan dokumen palsu mengikut Seksyen 89 akta sama yang masing-masing membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh Sulaiman mengenai bagaimana salinan kad pengenalan saksi itu boleh berada dalam simpanan Adam Rosly, Hang Yuan menjawab dia tidak tahu perkara itu.
Saksi pendakwaan kelima itu juga mendakwa tidak pernah memberikan salinan kad pengenalannya kepada mana-mana pihak untuk sebarang tujuan.
Yang turut dipanggil untuk memberi keterangan adalah seorang peguam, Mohammad Salahuddin Abdul Ghani, 33, yang menyediakan dokumen perjanjian persetujuan antara tertuduh dengan pemberi pinjaman.
Perbicaraan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail bersambung esok.
Konco-konco ku
Saturday, January 13, 2018
'AH LONG' TAK KENAL ADAM ROSLY
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
comment please.....