Konco-konco ku

Friday, August 21, 2015

DARUL EHSAN INVESTMENT GROUP (DEIG) - KEBIMBANGAN KITA

Darul Ehsan Investment Group (DEIG) - Kebimbangan Kita

Dalam keghairahan pakatan pembangkang menyerang Kerajaan Pusat khususnya Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akhirnya dilihat memakan diri apabila berjaya mencipta kontroversi mereka sendiri di sebalik penubuhan DEIG yang diletakkan di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang cukup meragukan.

Jika dilihat secara kasar dan dasarnya, penubuhan entiti pelaburan ini dilihat sama seperti penubuhan syarikat-syarikat lain yang mana ia tertakluk di bawah Akta Syarikat 1967. Namun penubuhan DEIG dibawah akta itu menjadikan entiti tersebut menikmati status bebas daripada diaudit oleh mana-mana pihak termasuklah membentangkan kedudukannya untuk pengetahuan atau dibincangkan di peringkat DUN Selangor.

Seolah-olah penuh dengan agenda tersirat, kewujudan DEIG itu sendiri mencetuskan seribu persoalan dari segi keperluan sebenar penubuhannya sama ada ia benar untuk meningkatkan prestasi pelaburan negeri atau hanya untuk kepentingan pihak tertentu semata-mata.

Ini jelas menunjukkan bahawa kewujudan DEIG dilihat mencetuskan persoalan dan kebimbangan yang munasabah seperti:

1. Mengapa DEIG ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1967 dan diletakkan di bawah MBI yang diwujudkan di bawah Enakmen Menteri Besar Selangor [Enakment No : 3 1994] pada 21hb September 1994.

Perbezaan ini akan menjadikan DEIG sebagai sebuah syarikat yang seakan-akan ‘invisible’ yang mana akaun syarikat tidak memerlukan ia diaudit dan diserahkan laporan kedudukan kewangan termasuk aktiviti mereka kepada kerajaan negeri.

Keadaan itu sudah tentunya akan menyebabkan DEIG terdedah kepada percanggahan dan/atau penyalahgunaan kuasa dari segi ketelusan maklumat mengenai kewangan khususnya dan lain-lain keputusan secara amnya, selain tiada pemantauan boleh dilakukan terhadap aktiviti syarikat itu dalam menandatangani sesuatu kontrak atau atas nama usahasama pelaburan.

2. Jika benar maklumat yang diterima Menteri Besar Selangor merupakan merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah MBI dan juga DEIG. Persoalan yang timbul seterusnya adakah DEIG sudah menjadi anak syarikat MBI?

3. Penubuhan DEIG secara langsung dilihat akan mengurangkan peranan utama MBI dalam tanggungjawab urustadbir harta dan aktiviti berunsurkan perniagaan yang di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Sepatutnya kerajaan negeri memperkukuh dan memperkasakan ‘vehicle’ sedia ada (MBI) dalam soal pengurusan pelaburan.

Selain itu, kewujudan DEIG turut diliihat mencetuskan kekeliruan dan sedikit sebanyak pertindihan hak dan tanggungjawab dengan peranan Invest Selangor Berhad (sebelum ini SSIC) dalam usaha mempromosi serta bantuan teknikal melibatkan aktiviti pelaburan di negeri ini.

4. Kewujudan DEIG sudah tentunya memerlukan pertambahan kos dalam menampung operasi entiti itu (capital expenditure) yang sedikit sebanyak mempengaruhi kedudukan kewangan MBI.

5. Cadangan pemindahan asset MBI berjumlah sekitar RM6.3 bilion kepada DEIG turut mengundang kepada kos dan risiko yang amat tinggi sama ada berpunca daripada faktor ketidaktentuan pasaran atau terdedah kepada salahlaku aktivitipelaburan dan perdagangankerana tiadanya pemantauanyang khusus boleh dibuat ke atas syarikat itu.

Sekiranya akiviti pelaburan dan perdagangan tersebut memerlukan DEIG membuat pinjaman, sekiranya prestasi pelaburan yang dijalankan berhadapan dengan risiko ketidaktentuan pasaran satu sebagainya, maka ianya akan mempengaruhi kadar hutang yang ditanggung oleh entiti itu.

Malah, keadaan tersebut dibimbangi akan melibatkan campur tangan daripada MBI atau kerajaan negeri termasuklah kemungkinan berlaku penjualan aset milik MBI atau milik anak-anak syarikat lain bagi menampung liabiliti tersebut. Hal ini akan selanjutnya melibatkan kehilangan aset milik MBI kerana terdedah dengan pendedahan kewangan yang tidak perlu (unnecessary financial exposures).

6. Penubuhan DEIG juga dilihat merencatkan persaingan sihat di antara anak-anak syarikat kerajaan negeri ekoran pelaksanaan konsolidasi pelaburan yang diletakkan di bawah DEIG sekaligus menjadikan entity itu bersifat hegemoni dalam aktiviti pelaburan anak-anak syarikat milik negeri.

7. Bagaimanakah status aset, sekiranya semua aset MBI berpindah dan diurus oleh DEIG (Syarikat di bawah Akta Syarikat 1965) dan kemudian sesuatu di luar jangka berlaku seperti pertukaran kerajaan dan DEIG pula membuat resolusi tiada kaitan dengan MBI. Jika status DEIG berterusan seperti yang sedia ada tertera didalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, maka sudah tentu DEIG boleh cuci tangan dan mendapat aset MBI tanpa perlu usaha yang keras.

Inilah kebimbangan kita yang sebenar.

YB BUDIMAN MOHD ZOHDI
ADUN SUNGAI PANJANG
SETIAUSAHA ADUN BN SELANGOR

No comments:

Post a Comment

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...