Konco-konco ku

Thursday, November 5, 2015

AZMIN PERGUNAKAN #DEIG UNTUK BAYAR HUTANG

1) Isu kegagalan anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membayar hutang RM413.2juta kepada kerajaan negeri seperti yang dibangkitkan dalam sidang negeri Selangor oleh YAB Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali semalam amat mencurigakan dan mengundang pelbagai persoalan. 

2) Menurut Menteri Besar, KDEB hanya membayar balik RM5 juta daripada jumlah keseluruhan terkini menjangkau RM429.728 juta setelah diambilkira caj pembiayaan pada kadar empat peratus setahun. Ini menjadikan baki pinjaman tidak berbayar bernilai RM424.728 juta. 

3) Hutang tersebut diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor kepada KDEB pada bulan Jun 2013 untuk membiayai pengambilalihan sepenuhnya 100 peratus pegangan saham Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) yang telah gagal menguruskan dengan sempurna lebih 7,000 ekar tanah di Selangor, dianggarkan bernilai lebih RM6 billion. 

4) Menteri Besar juga mendakwa bahawa KDEB juga gagal memiliki 100 peratus pegangan saham dalam KHSB berikutan keengganan pemegang saham minoriti menjual saham mereka kepada KDEB.

5) Kami difahamkan bahawa proses penyahsenaraian KHSB daripada senarai Bursa Malaysia hanya selesai lewat tahun lepas manakala kaedah pengurangan modal dan pembayaran balik baru sahaja mendapat persetujuan pemegang saham KDEB menerusi satu EGM. Buat masa ini, KDEB masih menunggu perintah mahkamah untuk memiliki KHSB sepenuhnya. 

6) Seperti kenyataan MB Selangor semalam, ia menggambarkan seolah-olah KDEB tidak mampu menyelesaikan hutang tersebut, sedangkan proses mengambilalih pegangan saham dalam KHSB masih berjalan (ongoing).

7) Kenyataan MB tersebut seolah-olah mempunyai maksud tersirat dan sekaligus memberi “credence” kepada maklumat yang diterima bahawa syarikat sarat kontroversi Darul Ehsan Investment Group (DEIG) bakal mengambil alih hutang tersebut daripada KDEB. Dipercayai keputusan ini dibuat dengan niat memindahkan kepada DEIG Land Sdn Bhd (DEIG Land), sebuah anak syarikat DEIG, terhadap kuasa dan kawalan ke atas bank tanah milik KHSB yang amat bernilai tersebut.

8) Kami juga dimaklumkan bahawa pada 22 Julai 2015, DEIG Land telah menerima daripada sebuah kumpulan perbankan utama di Malaysia tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta untuk mengambilalih dan melunaskan hutang KDEB tersebut. Pinjaman tersebut dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah. Semasa permohonan pinjaman bank tersebut dibuat dan diluluskan, DEIG Land hanya mempunyai dua (2) orang ahli Lembaga Pengarah dan dua (2) orang pemegang saham dengan nilai pegangan satu ringgit tiap seorang. Pada masa yang sama juga, YAB Menteri Besar memaklumkan Dewan Negeri Selangor bahawa DEIG dan anak-anak syarikatnya masih belum beroperasi. 

9) Kami juga difahamkan program penyelesaian asal menjadualkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membeli sebahagian daripada bank tanah KHSB dari KDEB. Hasil transaksi tersebut kemudiannya akan digunakan oleh KDEB untuk melunaskan pinjamannya dengan Kerajaan Negeri.

10) Penyelesaian ini dilihat menang-menang kerana PKNS akan memiliki bank tanah yang dapat dimanfaatkan selama 20-30 tahun lagi manakala KDEB pula dapat dana untuk melangsaikan pinjaman.

11) Maka, saya menuntut Dato' Menteri Besar memberi penjelasan terhadap persoalan berikut:

11.1 Tentunya tawaran sebuah bank komersil menimbulkan persoalan kerana Menteri Besar Selangor kerapkali menyebut DEIG belum lagi beroperasi. Bagaimana sebuah syarikat yang dikatakan belum beroperasi boleh menerima tawaran pinjaman bank? Apakah asas sebuah syarikat baru didaftarkan boleh menerima tawaran pinjaman sebanyak RM 500 juta.

11.2 Mengapa kerajaan negeri tidak meneruskan pelan penyelesaian asal menerusi PKNS tetapi sanggup membiarkan DEIG berhutang dan menanggung beban faedah yang tinggi? 

11.3 Bentangkan secara telus, lengkap dan komprehensif kesemua aset milik negeri yang telah dicagarkan kepada bank untuk menerima tawaran pinjaman tersebut?

11.4 Bukankan semua pihak berdepan dengan risiko amat tinggi sekiranya aset bernilai RM1.02 billion dicagarkan apatah lagi oleh sebuah syarikat Sendirian Berhad yang hanya bernilai RM2?

11.5 Mengapakah sebahagian bank tanah milik KHSB tidak dijual kepada PKNS mengikut pelan penyelesaian asal atau KDEB menjalin hubungan usahasama dengan PKNS memandangkan PKNS kekurangan tanah untuk dimajukan sedangkan PKNS mempunyai kepakaran dan tenaga kerja melebihi 3,000 orang?

11.6 Adakah wujud desakan supaya PKNS tidak menunjukkan minat untuk memajukan tanah tersebut?

Kebimbangan kami pada sidang DUN lepas berasas, ternyata prinsip ketelusan menjadi mainan bibir semata-mata. Saya menggesa agar YAB Menteri Besar memberi perhatian serius terhadap semua isu yang saya bangkitkan kerana ianya sangat kritikal, melibatkan soal ketelusan, kebertanggungjawaban, kejujuran dan integriti sebuah kerajaan yang diberi amanah untuk mempertahankan hak dan harta rakyat. Saya menyeru agar beliau tidak akan mencemari kesucian Dewan dengan memberi jawapan-jawapan yang penuh kesangsian. 

YB BUDIMAN MOHD ZOHDI
SETIAUSAHA ADUN BN SELANGOR
ADUN SUNGAI PANJANG

No comments:

Post a Comment

comment please.....