Konco-konco ku

Tuesday, April 14, 2015

ELAUN GURU KAFA: AZMIN LUPA ATAU BUAT-BUAT LUPA? - YB BUDIMAN

DALAM sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 7 April lalu, Menteri Besar, Mo­hamed Azmin Ali secara sinis dalam menyindir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah menghidap penyakit hilang ‘selective amnesia’ atau kehilangan daya ingatan dan hanya mengingati serta menyimpan apa yang dimahukan.

Sindiran Mohamed Azmin itu dilihat seolah-olah merujuk tindakan Abdul Khalid yang ketika membahaskan usul titah Sultan Selangor pada 2 April lalu mengkritik tindakan Menteri Besar itu yang didakwa tidak konsisten dalam memuktamadkan perjanjian penstrukturan industri bekalan air Selangor sebelum ini yang membuktikan kelemahan sebenar pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Dalam perbahasan itu, Abdul Khalid turut menyatakan gesaan­nya supaya Mohamed Azmin berundur dari jawatannya sekiranya gagal memuktamadkan perjanjian utama itu dengan memberikan kepada individu yang layak.

Namun kritikan Abdul Khalid terhadap pentadbiran negeri itu tidak terhenti setakat itu apabila beliau sekali lagi mengeluarkan kenya­taan menerusi akaun Facebook miliknya pada 6 April lalu membuat sindiran bahawa amat mudah menjadi pemimpin oportunis dengan membuat keputusan popular tanpa memikirkan impak dalam segala segi dan gambaran sebenar situasi dan kemampuan hakiki.

Penulis tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai perbalahan di antara Abdul Khalid dengan Mohamed Azmin ini. Namun, satu perkara yang amat menarik perhatian adalah tentang sindiran Menteri Besar terhadap Abdul Khalid itu yang mengaitkan dengan penyakit ‘selective amnesia’.

Barangkali Mohamed Azmin juga mungkin tidak sedar beliau mungkin mengalami simptom penyakit tersebut apabila lupa mengenai janji untuk menaikkan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM1,500 sebulan. Barangkali terlalu teruja dengan jawatan Menteri Besar yang disandang, janji itu mungkin dibuat-buat lupa.

Jika Menteri Besar sukar untuk mengingati janji itu kerana mungkin menghidap ‘selective amnesia’, penulis mungkin boleh mengambil peluang ini dengan mengingatkan bahawa janji untuk menaikkan elaun guru KAFA adalah antara yang terkandung dalam manifesto bersama PKR, DAP dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Kenaikan elaun guru KAFA sebanyak RM1,500 sebulan itu adalah sebahagian daripada rancangan peningkatan gaji melibatkan seluruh warga kerja sekolah agama di negeri ini yang turut disusuli de­ngan strategi memperbanyakkan aktiviti pengajaran yang setimpal dengan gaji yang dibayar.

Bagaimanapun, hampir dua tahun lebih PRU-13 berlalu, kerajaan negeri seolah-olah hilang ingatan untuk melaksanakan kenaikan elaun guru KAFA sebagaimana yang dijanjikan sedangkan kerajaan ne­geri telah membentangkan dua Bajet Negeri masing-masing pada 2014 dan 2015 melibatkan peruntukan kewangan yang besar yang bernilai berbilion ringgit.

Pada 20 November 2013, kerajaan negeri mengumumkan Bajet Selangor 2014 melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM1.8 bilion yang mana dari segi pecahannya 66.2 peratus atau RM1.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus yang terdiri dari perbelanjaan bekalan dan perbelanjaan tanggungan manakala selebihnya iaitu 33.78 peratus diperuntukkan untuk per­belanjaan pembangunan dengan nilai sebanyak RM624.9 juta.

Peruntukan kewangan dalam Bajet negeri itu bagaimanapun bertambah pada 2015 kepada RM2.42 bilion yang mana RM1.28 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM1.13 bilion adakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Malah, Menteri Besar ketika membentangkan Bajet Selangor 2015 pada 24 November tahun lalu turut mengumumkan kutipan hasil negeri pada tahun ini dianggarkan meningkat pada kadar 6.49 peratus kepada RM 1.97 bilion berbanding RM1.85 bilion pada tahun 2014.

Melihat dari angka-angka kewang­an bajet kerajaan negeri bagi kedua-dua tahun tersebut, seolah-olah Se­langor begitu gah dari segi kedudukan kewangannya. Namun, amat malang sekali apabila kedua-dua bajet negeri itu tidak dimasukkan dengan janji pakatan pembangkang untuk menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,500 sebulan.

Ketika ini, guru KAFA di Se­langor menerima elaun sebanyak RM1,300 setiap bulan yang mana RM800 daripadanya adalah dibiayai oleh Kerajaan Pusat manakala bakinya RM500 bayar oleh kerajaan negeri. Jika mengikut Pendapat­an Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan kerajaan negeri, seramai 6,742 orang guru KAFA di Selangor berada di bawah kategori miskin.

Mengenai insiden seorang guru KAFA dari Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Klang, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang dilaporkan dihalang daripada menyerahkan surat untuk mendapatkan pertimbangan kerajaan negeri menaikkan elaun itu pada 8 April lalu, penulis merasa simpati atas kepayahan yang dialaminya dek kerana sikap pentadbiran Selangor yang seolah-olah ‘hanya tahu berjanji tetapi tidak ditunaikan’.

Nasib yang dialami oleh Ekhsan Bukharee itu mungkin turut dirasai sebilangan besar guru KAFA lain di negeri ini apatah lagi beliau me­nyatakan ada rakan seperjuang­an terpaksa melakukan kerja lain seperti tukang cuci dan sebagai­nya untuk menampung kehidupan mereka.

Namun, penulis amat kesal de­ngan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi ketika sesi pertanyaan dalam DUN Selangor pada 9 April lalu yang menyatakan kenaikan elaun RM1,500 kepada guru KAFA di negeri ini masih lagi dalam pe­ringkat kajian termasuklah masih meneliti kesesuaian penambahan peruntukan untuk tujuan itu.

Persoalannya, mengapa kerajaan negeri mengambil tempoh masa yang terlalu lama untuk melaksanakan kajian kenaikan itu sedangkan pada masa sama pentadbiran Selangor difahamkan mendabik dada mengumumkan pertambahan dalam hasil kerajaan negeri. Apakah kerajaan ne­geri merasakan guru KAFA ini taraf­nya tidak sama dengan guru tetap di Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) yang ada di Selangor ketika ini.

Jika demikian, ini satu pengabai­an serta diskriminasi yang serius dalam sistem pendidikan agama di Selangor. Penulis menolak sama sekali jika perkara ini benar-benar berlaku kerana guru KAFA ini juga memainkan peranan besar dalam pembangunan insan yang berteraskan agama Islam di negeri ini. Apakah sebenarnya tumpuan kerajaan negeri dalam membela nasib para guru KAFA ini?

Ternyata penyakit ‘selective amnesia’ dihidapi oleh mereka yang benar-benar memilih tindakan. Dalam kes guru KAFA ia menyerlahkan sikap sebenar kerajaan negeri yang bersifat selektif dalam soal membela rakyat. Apakah ini dasar kepedulian yang sering dibanggakan oleh kerajaan negeri selama ini?

PENULIS ialah YB BUDIMAN MOHD ZOHDI, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Panjang dan Setiausaha ADUN BN Selangor.

-Utusan Online-

5 comments:

  1. azmin bukan aje lupa pasal guru kafa..... pasal hadiah anak selangor yang berjaya masuk universiti pun dia lupa jugak.... banyak betul benda dia lupa....

    ReplyDelete
  2. Tiup belon dlm bilik air dia x lupa..

    ReplyDelete
  3. Ni sindrom..tak sedar diri..

    ReplyDelete
  4. Salam Bro,apa lagi orang Selangor ? Buang kerajaan PKR tu.Menangkan semula BN supaya segala macam masalah tu sekurang-kurangnya dapat di atasi secara berperingkat.Kesian aku tengok orang Selangor ni dapat MB Sengal habis.Bengong punya Assmin !

    ReplyDelete
  5. Padan muka tu..pilihan dan kehendak kalian nak PR memerintah...sekarang tanggung la sendiri..yg menebang mereka memerintah bukankah kebanyakan dari golongan mereka yg banyak berketayap dan berkopiah. Ini bala kalau pandai memilih manusia munafik.

    ReplyDelete

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...