Konco-konco ku

Saturday, September 4, 2021

Nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara selari matlamat pembangunan Selangor: JPNS

 


Kerajaan negeri Selangor telah mengambil kira kesemua aspek dalam membuat keputusan yang terbaik berkaitan isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan tersebut adalah selaras dengan matlamat pembangunan Selangor ke arah kestabilan sosioekonomi, dinamik, mampan dan lestari.

JPNS memaklumkan kerajaan negeri masih mengekalkan kira-kira 46 peratus daripada kawasan HSKLU, mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat, dekat sini sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Menurut kenyataan tersebut secara keseluruhannya, cadangan penyahwartaan HSKLU telah melalui proses yang begitu teliti oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam selaras dengan Kaedah-Kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014.

“Proses penyiasatan awam ini telah berlangsung selama lebih satu tahun sejak keputusan cadangan penyahwartaan HSKLU diterima pada November 2019.

“Kesemua bantahan yang diterima telah dikumpulkan dan diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor untuk pertimbangan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan berkenaan melalui MMKN Ke-17/2021 5 Mei lalu yang disahkan oleh MMKN Ke-18 pada 19 Mei lepas, hanya seluas lebih kurang 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU ini diluluskan untuk dinyah warta di bawah Seksyen 11 dan 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

“Berdasarkan keputusan MMKN yang sama, seluas lebih kurang 581.48 hektar telah diluluskan sebagai kawasan gantian HSK iaitu melibatkan PT4182 mukim Sungai Panjang, daerah Sabak Bernam seluas lebih kurang 308.62 hektar; Ampang Pechah, mukim Buloh Telor, daerah Hulu Selangor seluas lebih kurang 208.98 hektar dan Bukit Broga, mukim Semenyih, daerah Hulu Langat seluas lebih kurang 63.88 hektar,” jelas kenyataan terbabit.

JPNS memaklumkan, hasil kajian pakar perunding yang dilantik kerajaan negeri iaitu UPM Consultancy & Services Sdn Bhd pada 2020 turut digunakan dalam pertimbangan penyahwartaan HSKLU dan berdasarkan kajian mereka, nilai biodiversiti hutan simpan itu dan kawasan gantian adalah hampir sama.

“Kawasan gantian HSKLU yang dinyah warta terdiri daripada jenis hutan paya gambut di mukim Sungai Panjang iaitu sama jenis hutan dengan HSKLU manakala, kawasan gantian di Ampang Pechah dan Bukit Broga adalah jenis hutan bukit

“Kawasan gantian Ampang Pechah mempunyai kepentingan koridor rangkaian ekologi hidupan liar dikenali sebagai central forest spine (CFS) sepertimana ditetapkan dalam Rancangan Fizikal Negara Ketiga manakala kawasan Bukit Broga mempunyai nilai-nilai ekopelancongan yang amat tinggi dan merupakan antara tarikan kawasan pendakian utama di Selangor,” maklum kenyataan itu.

JPNS memaklumkan kerajaan negeri turut mengenakan beberapa syarat kepada pemaju Gabungan Indah Sdn Bhd yang telah diluluskan pemberimilikan di kawasan nyah warta HSKLU pada tahun ini antaranya termasuklah pengekalan 20 peratus daripada kawasan pembangunannya sebagai kawasan hijau serta keperluan translokasi spesies-spesies flora dan fauna yang berkepentingan.

“Selain itu, MMKN juga telah meluluskan sebahagian kawasan untuk penggantian baki Rizab Orang Asli Busut Baru iaitu seluas lebih kurang 42.1 hektar di bawah Seksyen 7, Akta Orang Asli 1954.

“Justeru, isu tuntutan perizaban kawasan Orang Asli Busut Baru seluas lebih kurang 404.6 hektar sebagai penggantian kawasan disebabkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejak 2006 dapat diselesaikan,” maklum kenyataan tersebut.

Menurut Jabatan itu lagi, HSKLU merupakan hutan yang telah terpisah daripada kompleks hutan utama dan mengalami tekanan pembangunan tanah tepu bina di sekelilingnya seperti Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Bandar Saujana Putra dan Gamuda Cove.

JPNS memaklumkan HSKLU juga telah diklasifikasikan sebagai kawasan yang berisiko tinggi untuk terbakar oleh Jabatan Perhutanan Selangor pada tahun 2016 dan mengalami kemerosotan akibat beberapa kali terbakar pada tahun 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.– Bernama

No comments:

Post a Comment

comment please.....