Konco-konco ku

Sunday, July 17, 2016

PKR DICABAR AMBIL TINDAKAN TERHADAP DARELL LEIKING HINA JAIS, DYMM SULTAN SELANGOR - BUDIMAN

1. Pada sekitar 7 Julai 2016, Naib Presiden PKR, Darell Leiking dilaporkan telah memuat naik status menerusi akaun Facebook peribadi beliau, yang antara lain kandungannya, mempertikaikan khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sempena Aidilfitri 6 Julai lalu yang ada menyentuh mengenai usaha dalam mempertingkatkan serta memartabatkan institusi perundangan Syariah menerusi usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen.

2. Paling mendukacitakan, kenyataan Darell yang dibuat Ahli Parlimen Penampang, Sabah yang mengaitkan kandungan khutbah tersebut seolah-olah satu satu permulaan Selangor ini diuruskan oleh golongan ekstremis itu adalah kenyataan yang sangat berniat jahat dan semborono yang jelas sekali menunjukkan kedangkalan ilmu, kecetekan budi bahasa serta kegagalan beliau dalam memahami isu sebenar mengenai perkara itu. Ini termasuklah beliau juga tidak peka serta memahami sensitiviti rakyat khususnya umat Islam di Malaysia.

3. Umum mengetahui bahawa JAIS adalah bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor dan perlaksanaan oleh pihak berkuasa yang dilantik itu adalah selaras dengan peruntukan dan bidang kuasa DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang merupakan Ketua Agama Negeri.

4. Justeru, kenyataan dangkal serta salah fakta yang dibuat oleh Darell tersebut yang menyatakan negeri ini diuruskan oleh golongan ekstremis sudah tentunya akan terpalit kepada DYMM Sultan Selangor sekaligus telah memperlihatkan beliau melemparkan suatu penghinaan yang tidak berasas sama sekali terhadap Baginda Sultan selaku Ketua Agama Negeri.

5. Rakyat sebenarnya telah mula muak dan jijik dengan sikap serta amalan politik keterlaluan yang cuba menyentuh sensitiviti agama dan umat Islam yang hanya bertujuan untuk meraih sedikit perhatian dan populariti politik. Amalan politik keterlaluan seumpama ini harus ditegah oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman, agama , kaum dan latar belakang demi keharmonian dan keutuhan kita bersama.

6. Lanjut daripada itu, demi untuk mengelakkan perkara ini terus berulang lagi, saya mencabar PKR dengan segala kuasa yang mereka ada, supaya tidak hanya berpeluk tubuh dan mengandaikan tindakan Darell itu tidak membawa apa-apa makna atau kesan kepada masyarakat. Sebaliknya, PKR khususnya Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlulah dengan seberapa segera untuk mengambil tindakan kepada Darell sebagai pengajaran dan panduan untuk masa mendatang.

7. Sebagai YAB Menteri Besar, adalah sangat tidak wajar untuk Mohamed Azmin membiarkan tindakan Darell itu dilakukan sama sekali. Saya memilih untuk bersetuju dengan tindakan JAIS yang difahamkan telah membuat laporan terhadap Darell mengenai isu tersebut hari ini demi menjaga kedudukan Islam di negeri ini.


BUDIMAN MOHD. ZOHDI 
Ahli Parlimen Sungai Besar
16 Julai 2016.

No comments:

Post a Comment

comment please.....