Konco-konco ku

Monday, August 29, 2016

MB JANGAN SEMPITKAN PEMIKIRAN TANGANI MASALAH KESESAKAN TRAFIK DAN LALULINTAS - BUDIMAN


1. KHAMIS lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan telah menyatakan pendirian kerajaan negeri menolak mana-mana usaha daripada Kerajaan Persekutuan membina lebuh raya baharu bagi menangani masalah kesesakan trafik di negeri ini pada masa depan.

2. Pada pendapat saya, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar itu adalah bersifat selektif dan tidak mencerminkan komitmen serta kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sedang dan bakal dihadapi oleh para pengguna jalan raya khususnya rakyat di Selangor serta Lembah Klang.

3. Berdasarkan rekod dan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan bagi suku kedua tahun ini sehingga 30 Jun lalu, jumlah terkumpul kenderaan bermotor di Selangor direkodkan mencapai sebanyak 2,821,594 buah meliputi pelbagai jenis manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula dicatatkan sebanyak 6,180,982 buah.

4. Selain itu, Selangor juga turut mencatatkan bilangan pendaftaran baharu kenderaan bermotor bagi suku kedua tahun ini sebanyak 20,213 buah dalam tempoh yang sama manakala Wilayah Persekutuan pula mencatatkan 31,568 buah kenderaan.

5. Melihat daripada catatan rekod dan berdasarkan statistik tersebut, saya yakin dan percaya bahawa jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat dari masa ke semasa yang mana sudah pastinya ia akan menambahkan bilangan kenderaan bermotor di atas jalan raya yang bakal memungkinkan menjadi punca kepada permasalahan kesesakan trafik dan lalulintas.

6. Walaubagaimanapun, untuk menyatakan "tidak" apatah lagi "menolak" cadangan pembinaan lebuh raya ia bukanlah satu tindakan yang bijak dan diharapkan oleh rakyat. Ini kerana, lebuh raya adalah merupakan antara pilihan atau alternatif yang ada bagi mengurangkan dan menyuraikan kesesakan trafik disamping galakan kepada pengguna jalan raya untuk beralih kepada pengangkutan awam. Ini bermakna, kerajaan negeri sepatutnya mengambilkira serta mempertimbangkan semua pilihan yang ada, bukannya hanya bergantung kepada menaiktaraf pengangkutan awam semata-mata.

7. Seperti yang semua sedia maklum bahawa pembinaan lebuh raya juga turut menyumbang kepada pembukaan kawasan-kawasan baharu bagi menampung pertambahan dan kepadatan bilangan penduduk yang meningkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang berlaku di Selangor ketika ini. Malah, pembinaan lebuh raya juga turut memberi kesan penjanaan ekonomi penduduk setempat khususnya di kawasan-kawasan luar bandar yang berhampiran.

8. Sekiranya Menteri Besar menyatakan kerajaan negeri mahu menaiktaraf infrastruktur dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dengan sasaran 60 peratus menjelang 2020, sepatutnya beliau mengemukakan pelan perancangan strategik termasuk inisiatif-inisiatif yang ada mengenai perkara itu. Sekiranya beliau merujuk usaha itu sekadar dengan langkah kerajaaan negeri memperkenalkan bas percuma Smart Selangor ketika ini, saya tidak fikir ia mampu menyelesaikan masalah kesesakan trafik secara keseluruhan kerana perkhidmatan yang terhad tidak meluas.

9. Berbanding dengan pentadbiran dibawah bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini, kerajaan negeri walaupun dari segi pendirian politik berbeza dengan Kerajaan Pusat, beliau dilihat lebih rasional dan munasabah dalam isu pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) demi unutk menyelesaikan masalah kesesakan trafik dan lalulintas khususnya yang dihadapi oleh rakyat di kawasan Petaling Jaya.

10. Namun, usaha itu nampaknya telah terbantut apabila Mohamed Azmin telah membatalkan cadangan projek lebuh raya itu pada Februari tahun lalu dengan memberikan alasan bahawa keputusan itu dibuat setelah mengambilkira hasrat dan pandangan rakyat. Sehingga ke hari ini, masih tiada cadangan mahupun alternatif jangka pendek yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah itu akibat daripada pembatalan Kidex tersebut. Saya juga difahamkan bahawa ketika ini, tiada penjelasan lanjut akan diberikan berkenaan hal perkara ini.

11. Justeru, saya tidak menolak kemungkinan bahawa kenyataan Menteri Besar itu seolah-olah menunjukkan sikap politiking beliau dalam menjalankan urustadbir Selangor berbanding Abdul Khalid. Menteri Besar perlu diingat bahawa realiti permasalahan yang sedang dan bakal dihadapi rakyat itu janganlah dikelirukan dengan alasan-alasan pemikiran yang sempit dan tidak munasabah. Beliau harus mengambilkira dan membuat pertimbangan yang wajar serta mendahului kepentingan rakyat berbanding kepentingan lainnya.

BUDIMAN MOHD. ZOHDI 
Ahli Parlimen Sungai Besar
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang
29 Ogos 2016

No comments:

Post a Comment

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...