Konco-konco ku

Sunday, March 18, 2018

GUAN ENG, GNANARAJA SAHABAT BAIK

Sekeping lagi gambar ‘intim’ Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama suspek yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima suapan sebanyak RM19 juta untuk menutup kes pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang didedahkan.

Menariknya, kali ini, gambar antara suspek yang mendakwa dirinya ahli perniagaan berpengaruh, Datuk Seri G Gnanaraja kelihatan tersenyum dan bergelak ketawa dengan Guan Eng dalam sebuah kereta dipercayai milik syarikat kontraktor pembinaan projek mega tersebut.

Guan Eng kelihatan begitu gembira bergambar ‘selfie’ dengan Gnanaraja dalam kenderaan tersebut yang didakwa dirakamkan tahun lalu sebelum transaksi berjumlah RM19 juta diberikan kepadanya melalui syarikat  Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith).

Setiausaha Agung DAP itu juga kelihatan memakai pakaian korporat rasmi beliau dengan namanya jelas tertera sementara Gnanaraja pula berbaju batik.

Sebelum ini, sekeping gambar didedahkan Guan Eng berada di kediaman rasmi Gnanaraja, dipercayai di rakamkan antara Mei sehingga Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, Guan Eng bukan sahaja melatah dan menuduh gambar tersebut adalah konspirasi jahat kerajaan BN, malah baru-baru ini beliau pula cuba mengaitkan hubungan Gnanaraja dengan pengamal media pro BN.

Guan Eng dalam sidang media di Komtar, Pulau Pinang Rabu lepas menyebarkan gambar  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star (SMG), Datuk Seri Wong Chun Wai bersama Gnanaraja yang diambil pada satu majlis keramaian.

Ramai tampil mengkritik Guan Eng kerana Gnanaraja juga dipercayai terlibat dengan pelbagai kes penipuan termasuk menipu ramai masyarakat India dalam skim cepat kaya yang melibatkan kerugian hampir RM80 juta.

Kes tersebut turut dikaitkan dengan isteri beliau yang juga merupakan seorang pemimpin NGO dan selebiriti tempatan.

Pasangan itu juga mempunyai sejarah cuba masuk ‘Islam’ untuk menipu seorang lelaki Islam melabur dalam yayasan mereka pada 2013.

Kesemua kes itu masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa ketika ini sebelum SPRM mencekup Gnanaraja baru-baru ini kerana dipercayai menerima suapan untuk mengadakan rundingan bagi menutup kes terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Peliknya, walaupun Gnanaraja berjaya menjaja dirinya berpengaruh dalam kalangan pemimpin BN, akhirnya terbongkar pula gambar-gambar intim beliau dengan Guan Eng.

Menurut Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, Guan Eng sudah tidak boleh melarikan diri, sebaliknya adalah lebih baik beliau tampil memberi penjelasan.

“Adakah gambar ini juga satu kebetulan? Gnanaraja yang sedang disiasat oleh SPRM kerana suapan RM19 juta untuk menutup kes terowong bawah tanah tidak dikenali oleh Guan Eng?

“Kalau sebelum ini, dalam rumah Gnanaraja kini dalam kenderaan ‘rasmi’ pula? Kedua-dua gambar ini sudah jelas menunjukkan mereka berdua sangat rapat.

“Apa lagi pembohongan anda Guan Eng? Sampai bila nak lari? Cukuplah. Kami sedang tunggu ‘pembohongan putar belit’ seterusnya dengan tidak sabar,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng da­lam satu kenyataan tanpa segan silu berkata, sebagai pemimpin ma­syarakat, adalah menjadi lumrah untuk beliau bergambar dengan mana-mana individu dan sukar baginya mengingati setiap foto yang diambil termasuk bersama ahli perniagaan ber­kenaan.


No comments:

Post a Comment

comment please.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...