Konco-konco ku

Tuesday, April 1, 2014

KENAPA PERLU MEMPERLEKEHKAN USAHA NEGARA SENDIRI?? #MH370

TERASA lama benar tidak menulis dalam blog usang yang sudah menjejak usia 6 tahun ini. Terlalu banyak cerita berkenaan politik yang berkisar dalam sebuah blog dari entah siapa. Politik...Politik....Politik.... Inilah core business yang digarapkan dalam penulisan di dalam blog ini. Entah kepada siapa, entah daripada siapa nak ditujukan tetapi aku percaya yang masih ada lagi pembaca yang sudi membaca tulisan aku.

Pesawat MH370

Pesawat penerbangan Malaysia Airlines Boeing 777-200 yang tiba-tiba menjadi satu fenomena bukan sahaja di setiap pelusuk negara Malaysia namun pada setiap insan yang turut merasai kepiluan dan kehilangan tanpa khabar penumpang dan anak kapal pesawat pengangkut ini kepada seluruh dunia. Setiap orang pasti merasai kepayahan dan keheningan peristiwa hitam ini yang tidak pernah berlaku pada Malaysia.

Jika satu masa dahulu kita masih teringat pesawat terhempas di Johor yang mengorbankan kesemua penumpang. Namun pada kali ini amat dan sungguh berbeza. Pesawat MH370 hilang. Masih mencari bukti terhempas atau dirampas. Pesawat berakhir di Lautan Hindi. Itulah kordinasi terakhir bagi pesawat MH370.

Apa nasib para penumpang dan anak kapal? Adakah masih selamat? Atau adakah sudah terkubur?

Bagi aku senang, ikut teori logik. Selagi mayat dan bangkai pesawat masih belum ditemui selagi itu aku percaya kuasa Allah itu Maha Besar dan setiap nyawa dalam pesawat malang itu pasti masih berdegup. Tetapi dimana? Persoalan yang masih belum dapat dirungkaikan.

Sedang DS Hishamuddin dan team SAR nya menjalankan tugasnya kepada negara. Sedang DS Najib masih sugul menanti jawapan yang tidak pasti. Masih ada lagi mulut-mulut jahat yang mempertikaikan kewibawaan yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia. Masih ada lagi yang mengatakan kerajaan terlalu lemah dan terlalu lambat untuk menjalankan kerja. Sedangkan dunia luar menghargai usaha yang dijalankan oleh mereka.

Apakah yang dimahukan oleh beberapa kerat parasit ini? 

Bagai menangguk di air yang keruh. Sedang negara diserang dari luar terutama negara China. Masih ada lagi rakyat Malaysia yang tidak nampak permainan dunia. Masih lagi ada rakyat Malaysia yang memperlekehkan usaha negara sendiri. Adakah sudah terhakis sikap patriotisme dalam diri? Atau adakah tiada langsung sifat sayangkan negara?

Kita bersyukur Malaysia masih aman. Kita bersyukur Malaysia sudah menjadi sebuah negara separa maju. 

Tiada apa yang sempurna di dunia ini. Allah tidak akan memberi kesempurnaan kepada setiap yang bernyawa supaya mereka beringat yang tiada makhluk lebih sempurna daripada Allah SWT. Supaya mereka sedar yang diri mereka adalah pinjaman semata-mata dan Allah berhak mengambil kembali nyawa pinjaman pada bila-bila masa yang dikehendaki. Percayalah pada qada' dan qadar Allah SWT.

Hairan apabila masih ada sebilangan manusia yang tidak reti bersyukur. Masih tidak faham prinsip hidup. 

Sedarlah rakyat Malaysia. Kembalilah bersatu. Kembalilah kepada ajaran Islam. Kembali kepada fitrah manusia yang sebenar. Kembalilah kepada Allah SWT. Ingatlah mati itu pasti, hidup hanya sementara.

No comments:

Post a Comment

comment please.....