Konco-konco ku

Sunday, November 26, 2023

PRK KEMAMAN: PILIH CALON BN UNTUK MANFAAT YANG LEBIH BESAR DI KAWASAN

 

Pengundi di Kemaman, Terengganu perlu menggunakan kebijaksanaan memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu bagi menikmati keuntungan berganda.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Kemaman sudah dikuasai oleh Pas yang menerajui kerajaan negeri.

"Pengundi di sana perlu menggunakan kebijaksanaan, jangan ikut emosi demi kebaikan rakyat, banyak kemudahan dan bantuan melalui wakil parlimen yang duduk bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

"Mereka akan mendapat keuntungan (peringkat), negeri pun dapat untung, Persekutuan pun dapat," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kempen di Kemaman berjalan dengan baik, tetapi terganggu disebabkan oleh cuaca.

"Kita dalam PRK ini, masing-masing mempunyai peluang yang sama. Sama ada kita boleh memang ataupun tidak, usaha mesti dilakukan. Jentera berjalan dengan baik tetapi kekangan sebab hujan.

" Justeru, kita akan cuba santuni seramai mungkin pengundi di Kemaman untuk menerangkan mengapa pilihan raya ini diadakan," katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 2 Disember ini bagi hari mengundi yang diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/636594/berita/politik/prk-kemaman-pilih-calon-bn-dapat-keuntungan-berganda

Saturday, November 25, 2023

MUHYIDDIN YASSIN LEBIH SUKA AZMIN ALI SEBAGAI PRESIDEN BERBANDING HAMZAH

 

SELEPAS sahaja pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Parti Bersatu baru-baru ini, maka ramailah panglima-panglima dari parti bunga ini sudah menyusun atur strategi untuk merebut jawatan Presiden parti itu.

Parti Bersatu sudah mempunyai 2 team besar Presiden iaitu team Azmin Ali yang direstui oleh Muhyiddin Yassin dan team Hamzah Zainuddin yang sudah lama mengidamkan jawatan Presiden tersebut semenjak sebelum menyertai parti itu lagi.

Mengikut info di dalam parti Bersatu yang diperolehi, Hamzah Zainuddin yang tidak mendapat sokongan Presiden dan ahli majli tertinggi Bersatu sudah pun mengumpul dan bertemu dengan kepimpinan setiap bahagian untuk memilih beliau sebagai Presiden Bersatu akan datang.

Menarik permainan parti Bersatu ini apabila dianggarkan akan ada pertembungan yang hebat. Sama-sama kita nantikan.

Friday, November 24, 2023

SETAHUN BERSAMA KERAJAAN MALAYSIA MADANI

24 NOVEMBER - Hari ulangtahun setahun pemerintahan Dato' Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Misi mustahil untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik dengan mempunyai gabungan yang bukanlah daripada pakatan parti beliau sendiri.

Atas titah DYMM Tuanku Agong, Dato' Seri Anwar berjaya mengajak dan menjernihkan keadaan negara yang tiada berkerajaan setahun yang lalu. 

Masih teringat Dato' Seri Saifuddin Nasution berjumpa dan berbincang secara 'gentleman' kepada setiap ketua parti termasuklah Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan, dan juga Muda ketika itu. (sebelum Syed Saddiq melompat pagar ke pembangkang)

Faham tentang dasar yang ingin dibawa oleh Perdana Menteri Ke-10 (PMX) ini pasti akan melalui kesukaran yang amat dahsyat. Namun selama setahun kita dapat melihat sedikit demi sedikit perubahan yang berlaku di dalam Malaysia terutama di dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Pelbagai inisiatif dan bantuan kepada rakyat terutama kepada rakyat yang berpendapatan rendah. Tidak terlupa juga rakyat daripada segenap lapisan masyarakat yang kita lihat Dato' Seri Anwar Ibrahim mampu melayan setiap kehendak dan keperluan rakyat di pelbagai peringkat.

Bukan mudah untuk membawa naratif yang ingin dipacunya tanpa sokongan dan dorongan daripada barisan kabinetnya sehingga kepada pelaksana dasar-dasar kerajaan iaitu penjawat awam.

Kita perlukan perubahan. Beri peluang dan ruang kepada pasukan Kerajaan Malaysia Madani ini bekerja demi untuk kemajuan serta pembangunan negara yang kita cintai ini.

Tolak sementara sengketa politik yang tidak pernah selesai. Kita sebagai rakyat Malaysia wajarlah mengambil peranan dan tanggungjawab bersama untuk seiring serta sejalan bersama kerajaan yang ada hari ini.

Percayalah, kemajuan yang bakal kita kecapi bukanlah untuk kita semata-mata, namun demi untuk anak cucu kita pada masa akan datang.

Membina negara memerlukan beratus malah beribu tahun untuk membangun tetapi jika kita nak hancurkan hanya sehari dua.

Sebagai seorang rakyat yang cintakan keamanan, kedamaian dan kemajuan Malaysia, marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk membangunkan negara ini menjadi sebuah negara yang hebat di mata dunia.


Selamat Ulangtahun Kerajaan Malaysia Madani