Konco-konco ku

Monday, October 22, 2012

TUN MAHATHIR TAK TOLAK PRU13 PADA TAHUN INI


Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sesuai diadakan bila-bila masa sahaja, termasuk pada tahun ini namun terpulang kepada  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih tempoh yang sesuai, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, sama ada diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan iaitu sebelum mandat lima tahun Barisan Nasional (BN) tamat, bila-bila masa dari sekarang juga merupakan masa yang baik untuk mengadakan pilihan raya.

"Bergantung kepada Datuk Seri Najib apa keputusannya. Pandangan saya adalah pandangan saya. Saya fikir kita sudah sampai penghujung, ia tidak menjadi masalah sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) boleh menunggu waktu yang sesuai untuk memuktamadkan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum namun ini juga memberi peluang kepada parti pembangkang untuk membuat persediaan.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga.

Mengulas mengenai derma politik sebanyak RM40 juta kepada Umno Sabah oleh penyumbang yang ingin dirahsiakan namanya, beliau menyifatkan derma kepada semua parti politik pimpinan kerajaan dan pembangkang untuk tujuan pilihan raya bukan perkara baru.

Beliau berkata, pemberian wang bagi tujuan pilihan raya oleh pihak tertentu kepada parti politik pembangkang adalah sebagai langkah perlindungan kerana mereka juga mahukan hubungan baik sekiranya pembangkang menang.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Canselor UTP menyifatkan tempoh 15 tahun penubuhan universiti itu sebagai satu pencapaian gemilang kerana UTP bukan sahaja diiktiraf dalam bidang ilmu, malah berpotensi menjadi antara yang terbaik di peringkat antarabangsa.

"Universiti tempat kita mendapatkan ilmu, tetapi sekiranya kita tidak tahu menggunakannya, ia akan membawa mudarat.

Kita mahu mereka membawa nilai moral yang tinggi, mereka akan menolak perkara yang tidak baik. Mereka akan lakukan perkara yang baik sahaja bagi diri mereka dan masyarakat," katanya.

Selain itu, beliau berkata pemberian sumbangan perisian daripada syarikat gergasi dunia seperti Schlumberger bernilai RM136 juta (AS$45 juta) serta penjanaan bagi Kursi tertentu kepada UTP merupakan satu pengiktirafan kerana pihak berkenaan berpendapat UTP boleh menghasilkan graduan yang cemerlang. - Bernama

No comments:

Post a Comment

comment please.....