Konco-konco ku

Friday, July 8, 2011

Tindakan tegas terhadap pihak cuba cetuskan permusuhan kaum: Sultan Selangor




HULU SELANGOR - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah bahawa baginda akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan api permusuhan dan perbalahan antara kaum dan masyarakat di negeri Selangor.

Baginda bertitah sebagai ketua negeri Selangor, baginda tidak akan membiarkan adanya anasir yang akan merosakkan bangsa dan agama.

"Di sini, beta ingin menyeru kepada rakyat Melayu di negeri Selangor ini supaya hendaklah bersatu-padu dan janganlah berbalah-balahan antara satu sama lain disebabkan oleh ideologi politik yang berlainan.

"Kita orang Melayu bersatu dengan satu agama, iaitu agama Islam," titah baginda ketika merasmikan Masjid As-Salam, Bukit Sentosa di sini.

Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Sultan Selangor bertitah baginda akan merasa sedih jika rakyat Melayu di negeri Selangor berpecah-belah disebabkan pendapat politik yang berlainan.

"Negara kita telah merdeka sebegini lama dan beta percaya rakyat Melayu di negeri Selangor ini telah banyak mempelajari dan mengetahui akan kemajuan hidup yang telah dicapai dan yang akan dicapai," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan orang Melayu supaya tidak terlalu mengikut emosi dan cepat terpengaruh dengan hasutan-hasutan yang tidak memberi keuntungan serta manfaat kepada diri sendiri, masyarakat, bangsa dan agama.

"Beta mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat beta yang peka dan prihatin terhadap usaha-usaha mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam negeri Selangor ini walaupun terdapat beberapa golongan yang cuba mencetuskan provokasi yang tidak diingini sejak kebelakangan ini.

"Tidak ada manusia normal yang sukakan pertelingkahan, ketidaktenteraman, permusuhan, apatah lagi memendam rasa benci dan syak wasangka," titah baginda.- Bernama

Wakdob - DAULAT TUANKU!!!!!

No comments:

Post a Comment

comment please.....