Konco-konco ku

Wednesday, October 11, 2023

KERAJAAN TANGGUNG RM60.6 BILION SUBSIDI TENAGA

 

Kerajaan membelanjakan kira-kira RM60.6 bilion untuk memberikan subsidi tenaga sahaja (bahan api dan elektrik) dari RM81 bilion subsidi yang terpaksa dibayar oleh negara pada tahun 2022.

Menurut Bank Negara, jumlah ini adalah enam kali ganda berbanding subsidi yang diberikan kepada sektor pendidikan yang menerima RM10 bilion untuk tahun lepas.

Jumlah ini juga jauh lebih besar dari subsidi untuk perkhidmatan sosial dan masyarakat (RM5 bilion), kesihatan (RM4.4 bilion), pertanian dan pembangunan luar bandar (RM2.5 biliion) dan perumahan (RM1.7 bilion).

Jumlah subsidi ini sangat tinggi berikutan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

Tanggungan ini terpaksa dibuat berikutan dasar pemberian subsidi yang sudah berjalan sejak sekian lama sehingga mengorbankan perbelanjaan untuk rakyat yang lain walaupun ia tidak sepenuhnya sampai kepada golongan yang memerlukan bantuan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, beliau akan memperkenalkan pendekatan baharu dalam hal subsidi ini dan memberi jaminan ia tidak akan membebankan rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan dasar terbaharu itu dilihat amat mendesak susulan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan ketika ini mencecah RM81 bilion.

“Dalam perkiraan dan pertimbangan kerajaan termasuk jemaah menteri, subsidi bersasar itu dianggap sangat mendesak kerana jumlah subsidi (ditanggung) kini sudah RM81 billion, tetapi dasar (baharu) tidak akan menekan (rakyat).

“Contoh terbaik ialah Tabung Haji dan kadar elektrik yang tidak akan dikenakan. Walaupun ada kekeliruan yang dibangkitkan seolah-olah kadar elektrik itu dikenakan kepada rakyat biasa, tidak benar sama sekali. Kalau ada mungkin ada sedikit pelanggaran (kepada) peraturan yang ditetapkan.

“Keputusan dari jemaah menteri itu jelas, hanya (dikenakan) kepada golongan berpendapatan tinggi,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sumber: https://harapandaily.com/kerajaan-tanggung-rm60-6-bilion-pada-tahun-2022-untuk-tenaga-sahaja/

No comments:

Post a Comment

comment please.....