Saya tidak berkesempatan untuk menghadiri Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan (KPPK) walau dijemput berkali-kali pihak penganjur 27 Ogos lalu dan sebelumnya. Elok juga saya tidak hadir. Jika tidak, saya akan dituduh pengkhianat Cina lagi.
Dalam resolusi kongres tersebut, kerajaan digesa bertegas untuk melaksanakan sistem pendidikan tunggal dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah demi meningkatkan jati diri dan perpaduan kebangsaan.
Kongres itu turut menyokong tindakan Kementerian Pendidikan yang tidak mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) untuk dijadikan sebagai setara dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Kongres tersebut juga menuntut kerajaan tidak meluluskan penubuhan sekolah menengah Cina dan tidak mengiktiraf kolej swasta Cina yang tidak mengikut kurikulum pendidikan kebangsaan.
Persoalannya, sedarkah kita berapa banyak Sekolah Persendirian Cina (SPC) dan IPTS Cina yang telah diluluskan sebelum ini? Apakah MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) memantau operasi IPTS menggunakan bahasa ibunda ini seperti yang dilakukan terhadap IPTA? Buatlah kajian. Saya sudah letih memperkatakannya.
Isu ini telah diperjuangkan sekian lama oleh NGO pendidikan Cina dan kebanyakan NGO Cina lain. Hari ini mereka sedang mengumpulkan tandatangan orang Cina bagi menentang pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP) yang antara lain mahu memperkasakan Bahasa Melayu (BM) dan beberapa penambahbaikan di SJKC.
NGO ini amat takut tindakan kerajaan terbaharu akan menggugat penguasaan bahasa Cina dan orang Cina tidak lagi menjadi secina-cinanya. Maka tidak hairan, NGO Cina tidak langsung mahu pendidikan mereka diubah atau disentuh oleh mana-mana pihak, termasuk kerajaan walaupun sebahagian besar dana diperoleh daripada bantuan kerajaan.
Adakah selama ini kita bertegas? Nasib baiklah Pilihan Raya Umum (PRU) telah berlalu. Jika tidak, bukan sahaja resolusi tersebut akan ditolak mentah-mentah, malahan lebih banyak institusi pendidikan Cina akan didirikan seperti mana telah diluluskan pembinaannya sebelum PRU13. Misalnya, di Kuantan, Segamat dan sebagainya.
Kenapa kita perlu tunduk kepada desakan? Kenapa kita tidak fikirkan tentang masa depan negara dan pembangunan negara bangsa? Persoalan ini telah bermain di minda saya sekian lama.
Saya harap, pada kali ini, kerajaan benar-benar serius dan jangan berdolak-dalih lagi. Nak jadi apa dengan PRU14 nanti, jadilah. Janji agenda pembangunan negara bangsa mesti diteruskan. Tidak kiralah siapa pun yang memerintah.
Sebenarnya ramai juga orang Cina tidak setuju dengan tindakan NGO-NGO Cina ini. Tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana NGO ini amat berpengaruh.
Persoalannya, adakah sebegitu berani sekali orang Cina? Terus-terang, orang Cina sebenarnya takut mati atau kiasi, selain kiasu (takut kalah). Kita lihat orang Cina paling ramai yang membeli insurans, terutama insurans nyawa. Mereka tidak mahu mati dalam kemiskinan.
Saya membangkitkan isu ini kerana saya menerima ancaman bunuh baharu ini. Terus-terang, hidup mati di tangan ALLAH. Saya serahkan segalanya kepada ALLAH. Moga ALLAH melindungi saya. Tapi saya bukanlah jenis yang takut mati, kerana Islam mengajar saya bersedia untuk mati bila-bila masa sahaja sama ada, ada wang atau tidak, kerana ajal maut di tangan ALLAH.
Sudah sampai masa kerajaan bertegas. Tangkap dan penjarakan ekstremis-ekstremis yang tidak mahu menyahut agenda pembangunan negara bangsa. Ketika itu saya yakin mereka akan kecut.
Jika tidak, isu ini akan terus menjadi duri dalam daging. Bila datang PRU14 nanti, kita pun menikus. Akhirnya, semua kembali balik asal. Inilah politik Melayu yang saya fahami sekian lama.
Bukanlah maksud saya kita menutup SJKC yang berjumlah lebih 1,300 buah. Saya fikir agak mustahil untuk dilakukan. Mungkin mengambil masa. Tetapi, kerajaan hendaklah memastikan SJKC akur kepada arahan kerajaan dan penambahbaikan yang cuba dilakukan.
Kita tidak boleh berlemak lagi, kerana kaduk sudah naik junjung. Biarlah PKR dan Pas memanipulasikan isu ini. Apa yang penting agenda kebangsaan mesti diperkasa. Namun, isu ini hendaklah dilihat secara menyeluruh termasuk SJKT (Tamil). Saya tidak risau sangat dengan SJKT kerana ia tidak se'ekstrem' SJKC.
sh