Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani yang telah pun melabuhkan tirainya pada 10 Disember yang lalu memberi satu impak yang amat luar biasa kepada rakyat yang hadir bermula 8 Disember sehingga 10 Disember 2023 bertempat di Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Melalui program ini rakyat boleh melihat sendiri dan menilai secara terus prestasi Kerajaan Madani dari segi dasar-dasar kerajaan seperti ekonomi MADANI, peralihan tenaga, transformasi digital, dan Pelan Induk Perindustrian telah dibentangkan dihadapan rakyat bukan hanya di atas kertas, malah jika ada sebarang persoalan rakyat boleh terus mengajukan soalan kepada para pempamer yang ada di setiap reruai kementerian serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat.
Perdana Menteri menegaskan tentang demokrasi penyertaan yang mana semua rakyat di semua peringkat daripada menteri, wakil rakyat, penjawat awam, petani, nelayan ataupun peniaga kecil harus memainkan peranan dalam menilai dan menyemak hasil kerja kerajaan agar kerajaan ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa.
Atas kejayaan penganjuran program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa penganjuran program seperti ini akan diteruskan diperingkat negeri-negeri dengan negeri Selangor menjadi negeri pertama yang bersedia untuk menganjurkan program ini pada bulan Januari tahun hadapan dengan kos penganjuran program akan dikurangkan dan aktiviti program akan dimantapkan.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga turut mengumumkan berkenaan Inisiatif Ekonomi MADANI yang bakal dilaksanakan oleh setiap kampung dan taman perumahan dengan memberi suntikan dana sebanyak RM50,000.00 hingga RM100,000.00 untuk melestarikan komuniti kampung dan taman dengan idea program atau projek mereka sendiri bermula pada tahun hadapan.
Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada semua Kementerian, jabatan, agensi dan NGO-NGO yang bersama-sama menjayakan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI. Program ini adalah kejayaan semua yang ada secara langsung atau tidak langsung.