Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang) mahu kerajaan negeri mengemukakan bukti lokasi sebenar rumah murah atau rumah kos rendah untuk rakyat khususnya untuk orang muda di negeri itu sebagaimana yang pernah diiklankan kerajaan negeri sebelum ini.
Pengerusinya, Budiman Mohd Zohdi berkata, masalah ini sangat kritikal memandangkan ramai anak muda di Selangor yang masih belum memiliki rumah sendiri.
“Kami nak tahu lokasi sebenar rumah yang mereka iklankan, berapa banyak rumah yang sudah diberi dan bagaimana proses dan prosedur untuk memiliki rumah-rumah tersebut,” ujarnya memberi penjelasan mengenai isu projek Perumahan Anak Muda kepada penduduk Flat Pandan Jaya, semalam.
Tambahnya, difahamkan di daerah Hulu Langat termasuk di Pandan, Ampang terdapat 1,510 unit rumah ditawarkan tetapi kawasan tersebut masih gagal dikenalpasti.
“Sehingga ke hari ini, Serang dan rakyat khususnya orang muda masih belum menerima maklum balas seperti yang diiklankan dan kita nak tahu, kesahihan kenyataan dari kerajaan negeri, adakah ia benar-benar wujud atau sebaliknya. Kerajaan sebelum ini pernah menawarkan projek Skim Perumahan Pasangan Muda tetapi kerajaan negeri sekarang telah membatalkannya.
“Kita juga mempunyai bukti bahawa di kawasan Pandan ini, terdapat rumah yang diduduki sehingga tiga keluarga (kelamin) kerana mereka tidak mampu membeli rumah yang berharga ratusan ribu. Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri gagal menangani isu rakyat dengan baik,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar.
Hadir sama, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Dato’ Sohaimi Shahadan dan pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pengerusi Pemuda Kompenan BN Parlimen Pandan.
Steady....
ReplyDelete