Thursday, August 15, 2013

TRAGEDI SYAWAL: PEMUDA LEMAS DI PASIR PANJANG, SEKINCHAN

SEKINCHAN – “Mak, Itoi minta maaf, nanti kalau Itoi dah tak ada, mak duduklah rumah kak Siti,” itu pesanan terakhir, Zulkarnain Abdullah Sani, 38, kepada ibunya, Kasidah Nasond, 73, sebelum lelaki itu ditemui mati lemas di perairan Sekinchan, kelmarin.

Kasidah berkata, ungkapan terakhir di pagi Syawal itu masih terngiang-ngiang di telinganya sehingga saat ini dan tidak menyangka anak ke-11 daripada 14 beradik itu pergi buat selama-lamanya.

Menurutnya, Zulkarnain atau yang lebih mesra dipanggil Itoi yang sedang bersiap untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sempat memohon maaf kepadanya sambil menasihatkannya supaya tinggal bersama seorang anak perempuannya, Siti Hajar Abdullah Sani, 47.

“Itoi sempat memeluk dan mencium dahi sambil meminta maaf kepada saya sambil air matanya bergenang dan ketika itu lah hati saya tersentuh dengan perlakuan pelik arwah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kasidah berkata, anaknya itu sebelum ini pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita lebih setahun lalu, bagaimanapun hubungan yang dijalin atas dasar cinta itu putus kira-kira dua bulan lalu.

“Semasa bertunang dulu, arwah selalu beri duit kepada saya untuk disimpan, tapi hubungan mereka tak lama, bagaimanapun, kesemua wang simpanan itu telah diambilnya semula untuk perbelanjaan,” katanya.

Jumpa anak kali terakhir Sabtu lalu

Menurut Kasidah, kali terakhir dia bertemu Itoi pada malam Sabtu lalu di rumah mereka di Pasir Panjang, namun hairan dengan sikap arwah yang dalam keadaan gelisah hendak keluar rumah dengan cepat.

“Saya ada bertanya dengan Itoi, dia hendak ke mana malam-malam ni, Itoi beritahu dia mahu turun ke laut esok pagi untuk menjaring kerang dan terus meninggalkan rumah dan bermalam di rumah kawannya,” katanya.

Katanya, dia hanya diberitahu kematian Itoi, petang Isnin lalu selepas seorang anaknya memaklumkan arwah ditemui mati terapung di perairan Sungai Nibong, Sekinchan.

“Luluh hati apabila menyaksikan anak yang saya kasihi mati terapung dan ketika itu nyawa saya bagaikan hendak tercabut, mujur anak-anak memaut lengan ketika itu dan meminta saya supaya bersabar,” katanya.

Siti Hajar berkata, adiknya itu dipercayai hilang selepas tidak pulang dua hari ke rumah, namun tidak mengesyaki arwah hilang memandangkan Itoi sering turun ke laut.

“Saya ada tanya emak kerana sudah lama tak nampak Itoi, tapi emak beritahu mungkin tak lama lagi Itoi pulang ke rumah kerana dia biasanya akan balik dua atau tiga hari,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka sekeluarga mula curiga apabila nelayan yang pulang dari laut menemui sampan fiber yang digunakan adiknya itu, tetapi kelibat lelaki itu masih gagal dikesan.

“Mereka menemui sampan Itoi di Tali Air 8, tapi kami masih gagal mengesan arwah hingga kami dikejutkan dengan penemuan mayat Itoi keesokannya berhampiran tukun iaitu kira-kira lima kilometer daripada tempat sampannya dijumpai,” katanya.

Temui mayat terapung

Seorang nelayan, Jamulddin Jafar, 61, berkata, dia bersama anaknya, Khairul Amran, 34 dan seorang rakan anaknya itu keluar memancing awal pagi berhampiran Pasir Panjang dan didatangi sebuah bot yang dalam perjalanan ke Sungai Besar.

“Seorang lelaki Cina memberitahu, mereka menemui mayat terapung sebelum kami terus menuju ke Sungai Nibong.

Katanya, mayat lelaki itu ditemui kira-kira jam 1 petang dalam keadaan perut kembung dan tertiarap.

“Sebaik saja sampai, saya yang mengenali Itoi terus menghubungi keluarganya, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) dan polis bagi membantu menarik mayat tersebut,” katanya.

Katanya, dia yang berada di situ hanya mengikut pergerakan mayat sementara menunggu bantuan daripada agensi penguatkuasa yang lain bagi memastikan mayat itu tidak hanyut jauh dan menyukarkan operasi mencari dijalankan.

“Mayat mangsa dibawa naik oleh anggota Maritim dan orang awam yang turut membantu dan terus dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang, Kapten (M) Christopher Ravindran Dass berkata, mangsa dipercayai hilang sejak Ahad lalu ketika keluar mencari kerang.

Christopher berkata, pasukannya diarahkan untuk ke perairan Sungai Nibong, berhampiran Kuala Selangor kerana telah menerima laporan bahawa terdapat satu objek terapung disyaki mayat di perairan tersebut.

“Maklumat telah disampaikan oleh seorang nelayan yang sedang memancing di kawasan itu dan menurut maklumat yang telah diterima, mayat tersebut adalah seorang lelaki Melayu yang telah tercampak ke laut akibat bot yang dinaikinya untuk menangkap ikan dipukul ombak besar,” katanya. - SinarHarian

1 comment:

  1. Kepada jawaber6, tolong sampaikan pesanan kat yb budiman utk buat sesuatu bagi mengatasi masalah mat rempit di pasir panjang setiap malam minggu (sekitar jam 1 hingg 4 pagi). Tolong turun dan tengok sendiri aksi anak-anak muda yang menyusahkan orang ni. Nak harapkan JKKP diorang semua dah tidur mati. Nak harapkan balai polis sekinchan, hanya hantar kereta buat rondaan je. Lepas polis tak de anak-anak haram jadah ni merempit lagi. Kalau 1-2 tahun lepas hanya time cuti panjang/cuti sekolah je dorang merempit, tapi sekarang ni tiap-tiap minggu dorang merempit & kadang-kadang hampir ratusan mat rempit berkumpul jadi macam pesta. Dari pemerhatian saya, mereka ni bukan semuanya budak pasir panjang dan mereka juga ada port-port lain. Kalau tak caya try jalan-jalan dari kuala selangor hingga ke sabak bernam pada malam minggu sekitar jam 12:00 pagi ke atas, pasti tuan akan berjumpa puluhan mat-mat rempit berkumpul di beberapa port yang lain dimana mereka membuat bising, merempit serta membahayakan pengguna jalan raya.

    ReplyDelete

comment please.....