Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman akan membuat pertuduhan terhadap Fuziah Salleh, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok kerana menyebarkan berita palsu.
Ahli Parlimen Kuantan dari PKR itu akan akan berhadapan pertuduhan jam 8.30 pagi esok berhubung kiriman yang dibuatnya menerusi Facebook.
Kiriman itu mendakwa berlaku keadaan di luar kawalan di Kompleks Imigresen, Kastam Dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar, Tambak Johor susulan kepulangan warga Malaysia dari Singapura.
Pada 12 April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dilaporkan berkata polis merakam keterangan Fuziah bagi membantu siasatan.
Kenyataan berserta video dimuat naik bekas Timbalan Menteri itu menerusi Facebook menggunakan nama 'Fuziah Salleh'.
Imigresen Johor turut menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis. Gajet digunakan untuk memuat naik kenyataan berkenaan turut dirampas dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Siasatan diklasfikasikan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan masing-masing kerana fitnah dan mendatangkan khianat awam.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment
comment please.....