1) Presiden UMNO, Dato Sri Mohd Najib Tun Razak semalam telah membuat pengumuman tentang penyertaan semula Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib ke dalam UMNO.
2) Tan Sri Muhammad sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dan Naib Presiden UMNO. Beliau membuat keputusan untuk meninggalkan UMNO dan menyertai Pas pada tahun 2013 dan akhirnya menyertai PKR pada tahun 2015.
3) Tempoh 24 jam sebelum pengumuman ini dibuat bukan sahaja menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli UMNO malah menimbulkan keluh kesah pihak pembangkang.
4) Penyertaan semula Tan Sri Muhammad sememangnya memberi tamparan hebat buat pihak pembangkang yang sehari sebelum itu dikejutkan dengan keluarnya pengasas PPBM dari parti tersebut iaitu Anina Saadudin dan diikuti pula oleh Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman.
5) Pengalaman luas Tan Sri Muhammad di dalam UMNO sebelum ini sudah tentu mampu membantu UMNO dalam menghadapi PRU-14 terutamanya bagi negeri Selangor disamping pengetahuannya tentang keburukan pembangkang akan memberi kelebihan buat UMNO.
6) Kenyataan Tan Sri Muhammad sejurus selepas pengumuman penyertaan semula beliau dibuat oleh Presiden UMNO yang menyatakan perjuangan parti pembangkang adalah sesuatu yang sia-sia kerana tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama mereka haruslah tidak harus dipandang sepi oleh rakyat. Ternyata slogan rakyat yang dibawakan pembangkang hanyalah helah semata-mata.
7) Keluarnya Tan Sri Muhammad, Anina Saadudin dan Datuk Hamidah dari kapal pembangkang yang dikemudi tiga nakhoda memberi gambaran jelas adanya masalah dalaman serius umpama retak menanti belah dan tidak mungkin akan bertahan lama.
Budiman Mohd Zohdi
Ahli Parlimen Sungai Besar / Adun Sungai Panjang
9 pagi / 18 September 2017.
No comments:
Post a Comment
comment please.....