SEBELUM ini, selepas rakyat Malaysia dikhabarkan tentang berita Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan memasuki Jepun, mereka dikejutkan pula dengan berita perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh tanpa sebarang alasan.
Pengumuman perletakan jawatan itu diumumkan pada 27 Januari lalu yang seterusnya menimbulkan tanda tanya kerana pasukan Pakatan DAP-PKR-Pas telah menang besar, 44 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke -13-(PRU-13) di Selangor.
Ekoran peletakan jawatan secara tiba-tiba itu, gosip politik berlegar sekitar kemungkinan Ketua Umum PKR itu bercita-cita menjadi Menteri Besar Selangor. Ini sudah tentu di luar kelaziman dan jika berlaku tentunya menjadi sejarah apabila ahli parlimen di negeri lain menjadi menteri besar di sebuah negeri lain.
Anwar sekali lagi mempamerkan kemahiran bersilat lidah apabila pada mulanya beliau menafikan khabar angin akan bertanding di PRK Kajang, iaitu pada hari yang sama Chin Cheh mengosongkan kerusi.
Namun tidak sampai 24 jam selepas penafian tersebut dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Penasihat DAP dan juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Anwar diumumkan akan bertanding bagi mempertahankan kerusi PKR diKajang. Serentak itu juga, road show Anwar terus bermula di Kajang.
Sedangkan ketika Anwar mengumumkan untuk bertanding itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum dimaklumkan mengenai kekosongan tersebut malah belum mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Ini adalah kali kedua pilihan raya kecil izin dalam paksa diadakan semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar tetapi kini segalanya musnah selepas kes beliau di Mahkamah Rayuan tidak memihak kepadanya.
Pada 2008 isterinya dan juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh beberapa bulan setelah PRU-13 untuk memberi laluan kepada Anwar.
PRK Kajang itu juga menyebabkan sidang DUN Selangor yang sepatutnya bermula pada 17 Mac 2014 ditangguh pada 7 April 2014. Ia dibuat semata-mata menunggu ADUN Kajang yang baharu berada di dalam Dewan Undangan Negeri.
PRK Kajang - Kajang Move berkemungkinan penting bagi PKR untuk menyelesaikan kemelut dalaman mereka. Pergeseran adik beradik untuk mendapatkan kasih bapanya di dalam PKR bukanlah satu rahsia lagi.
Pertembungan Abdul Khalid vs Azmin semakin terbuka. Bahkan dalam sidang DUN Selangor, label orang Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan orang Abdul Khalid juga berlaku. Banyak episod pelik dan pergolakan dalaman parti yang menimbulkan pelbagai spekulasi. Ini termasuk kes pemecatan Azmin dari Lembaga PKNS.
Kajang Move juga tentunya tidak boleh lari dengan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Pada mulanya, Rafizi mengakui perletakan jawatan Chin Cheh itu memang satu strategi pakatan untuk kekal kukuh di Selangor.
Tetapi apabila melihat mood rakyat tidak gembira dengan perletakan jawatan Chin Cheh tanpa munasabah itu, Rafizi cuba membetulkan keadaan dengan memohon maaf kepada pengundi di Kajang yang terpaksa melalui satu pilihan raya kecil yang tentunya akan memakan masa dan wang.
Dalam kalangan ADUN Selangor mereka hanya senyum sinis apabila Rafizi berhujah, kehadiran Anwar ke Selangor kononnya dikatakan cukup penting bagi menghalang Barisan Nasional (BN) menjadikan situasi darurat sebagai alasan merampas negeri Selangor.
Kenyataan seperti itu seolah-olah meremehkan daya juang dan pemikiran strategik ADUN-ADUN Pakatan di negeri Selangor. Sedangkan mereka telah menang 44 kerusi di Selangor pada pilihan raya umum lalu.
Kajang Move semakin celaru apabila Abdul Khalid menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Pusat berkaitan isu air. Seperti ada yang tidak kena, Rafizi tampil mendakwa MoU semula industri air Selangor merupakan satu kerugian buat rakyat di negeri itu. Ini jelas menunjukkan pertikaian dalaman yang sepatutnya diselesaikan di peringkat dalaman PKR telah menjadi perbincangan awam.
DAP pula sebagai rakan dominan dalam Pakatan tidak akan untung mahupun rugi dalam percaturan ini. Biar siapa pun menggantikan Abdul Khalid sebagai MB Selangor, ia tidak akan membawa sebarang perubahan kepada imbangan kuasa DAP dalam pentadbiran Selangor.
Dengan tiga wakil rakyat dalam barisan exco Selangor, juga satu speaker dan dua sebagai exco kanan, DAP masih akan kekal menguasai pentadbiran negeri Selangor buat penggal ini.
Yang kekal rugi dalam percaturan PKR ini ialah Pas, sebagai sebuah parti di dalam Pakatan yang memiliki jumlah kerusi yang sama banyak dengan DAP mengatasi jumlah kerusi PKR di dalam DUN Selangor. Walaupun mempunyai 4 orang exco negeri, ternyata Pas adalah parti yang tidak bersedia memimpin. Atau setelah mengukur baju di badan sendiri, Pas mengakui yang sememangnya mereka belum berani mentadbir sebuah negeri maju. Atau mungkin mereka bagaikan khayal meragut rumput kering yang di hidangkan oleh rakan tahaluf siyasi mereka.
Timbul persoalan berkenaan Kajang Move. Apakah perancangan Kajang Move mengambil kira kes Anwar di Mahkamah Rayuan? Adakah pasukan strategik mereka terlepas pandang atau terlalu yakin Anwar akan menang?
Adakah pelan mahu menukar Abdul Khalid sebagai Menteri Besar masih berjalan? Atau mungkin Wan Azizah tidak berupaya menolak bisikan untuk bergelar menteri besar wanita pertama.
Jika itu perancangannya ternyata meletakkan Wan Azizah adalah strategi terbaik untuk memastikan legasi Anwar.
Chew Mei Fun merupakan calon BN untuk PRK Dun Kajang. Beliau pernah meletak jawatan Ketua Wanita MCA atas ikrar dan prinsip ketika pemilihan MCA 2010. Jika benar mengundi Cina celik politik, inilah masa untuk memberikan suara wakil MCA dalam sidang DUN Selangor. Kini 12 suara pembangkang di Selangor sekarang ini semuanya adalah dari UMNO.
Tetapi pada masa sama jangan lupa politik air mata yang dimainkan pakatan pembangkang. PRK Kajang akan menjadi alat propaganda mata, seperti PRU 1999 mata lebam Anwar dijaja di mana-mana. PRU-2008, air mata Nik Aziz ditampal di setiap tiang dan tidak mustahil PRK Kajang air mata Azizah menjadi bahan kempen untuk mengusik emosi para pengundi.
Yang pasti, Kajang menjadi tumpuan seluruh negara bukan sahaja kerana Sate Kajang. Di saat kita simpati dan berduka atas insiden kehilangan pesawat MH370, Kajang menjadi saksi kepada pendekatan taktikal separuh masak Pakatan.
PENULIS ialah YB Budiman Zohdi, ADUN Sungai Panjang dan Setiausaha ADUN BN Selangor.
Kesian kat PAS yang selama ini hanya dijadikan batu loncatan untuk agenda DAP dan PKR. Walaupun jauh disudut hati mengaku tertipu... sukar untuk melawan kerana ego dan semangat kebencian pada umno sebangsa seagama begitu menebal.
ReplyDeleteSETUJU 100% DGN ANON DIATAS..1:05pm
ReplyDeleteikut sangat kehendak aljuburi tu.
ReplyDelete