Pas dinasihatkan keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) supaya parti itu lebih dihormati dan dimuliakan kerana prinsipnya walaupun menjadi parti minoriti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Pas hari ini dilihat menggadaikan prinsip dan pendiriannya serta tidak selantang dahulu dalam mengemukakan isu.
“Kita nasihatkan Pas keluar PR, walaupun akan menjadi minoriti tetapi dia (Pas) akan lebih dimuliakan kerana prinsipnya.
“Suatu ketika dahulu Pas lantang bersuara bahkan sampai ke tahap mengkafirkan kelompok tidak sealiran dan sependapat dengannya.
"Hari ini Pas hanya diam dan tidak membangkitkan lagi isu hudud, negara Islam dan pendirian-pendirian lain yang pernah dilaungkan,” katanya ketika sidang media di Bangunan Umno Selangor, semalam.
Fathul mendakwa, hanya kerana kuasa dan Putrajaya prinsip dan pendirian Pas selama ini tergadai begitu sahaja.
Beliau berkata, kerjasama Pas dengan DAP dan PKR pada hari ini disifatkannya menggadai pegangan-pegangan asal parti itu.
"Mungkin kerana Putrajaya atau kelemahan mereka serta kuasa membuatkan mereka jatuh ke tahap ini.
“Tidak dapat dinafikan manusia jatuh kerana pangkat, kuasa dan harta. Ini juga satu muhasabah kepada Umno sendiri, jika berlaku perselisihan pendapat, jangan kerana kuasa semata-mata kita gadaikan pendirian dan prinsip kita tentang agama,” katanya.
Dalam pada itu, Fathul berkata, belum PR menawan Putrajaya, telah timbul pelbagai kontradiksi dalam pakatan pembangkang berkenaan dan dijangka akan lebih parah sekiranya mendapat kuasa itu.
Katanya, dalam PR, tiada agenda Islam, yang ada hanya mempertahankan perlembagaan sedia ada termasuk Islam sebagai agama persekutuan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu.
“Tapi agenda Islam secara jelas seperti mempertahankan akidah Islam, hukum Islam yang Pas laungkan puluhan tahun lalu sudah tiada.
“Pas dalam bab ini menyebut bahawa negara berkebajikan disebut adalah manifesto itulah negara Islam sebenar, tetapi saya katakan pada mereka, kenyataan itu salah kenyataan kerana DAP sendiri memaklumkan negara berkebajikan dalam manifesto
PR bukan negara Islam sebaliknya negara sekular,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pertembungan dan percanggahan dalam pakatan ini dan tidak relevan untuk diberi mandat untuk memerintah.
“Pas nak bawa objektif dia, DAP kata tak boleh dah janji dah. Lim Guan Eng kata dah jelas kepada Pas dan juga PKR pelaksanaan hudud tak dibenarkan kecuali dengan persetujuan DAP," katanya.
No comments:
Post a Comment
comment please.....