Ketidaksefahaman dan gerakan untuk saling jatuh menjatuhkan antara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, kini bukan sudah menjadi satu’ rahsia umum’ yang tersebar luas di Selangor malah makin membusuk, khususnya di kalangan ahli-ahli PKR sendiri.
Perkara ini diakui oleh bekas Ketua Penerangan PKR, Haji Ruslan Kassim yang berkata bahawa konflik atau perang besar antara Azmin Ali dan Khalid Ibrahim ini sudah lama bermula dan ianya diketahui umum oleh rakyat, khususnya di kalangan ahli-ahli PKR.
“Perkara ini sudah diketahui umum, terutama mereka yang bersama PKR. Ini saya ibaratkan seumpama peperangan gajah sama gajah. Dan hari ini, banyak pelanduk yang sudah mati akibat peperangan gajah-gajah itu, “ ujarnya mengulas isu konflik di antara dua pemimpin tertinggi PKR itu di sini hari ini.
Jelas beliau, konflik antara Azmin Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim bermula apabila Timbalan Presiden PKR itu meletakkan jawatannya sebagai lembaga pengarah di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di mana Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi pengerusinya.
Tindakan Azmin meletakkan jawatan tersebut menurut Ruslan adalah sebagai tanda protes kerana tidak bersetuju dengan cara dan corak pentadbiran Khalid sebagai pengerusi PKNS dan Menteri Besar.
“Kemudian, Azmin mengarahkan anak-anak buahnya agar mengusulkan undi tidak percaya kepada Khalid di Cabang Kuala Selangor, di mana Khalid menjadi ketuanya. Begitu juga di Ranting Ijok, yang diketuai oleh Khalid, turut diserang oleh anak-anak buah Azmin dengan mengusulkan undi tidak percaya kepada beliau,” ujar beliau.
Seterusnya kata beliau, apabila melihatkan Azmin mula memberikan ancaman terhadap kedudukan beliau bukan sahaja di Cabang, malah di cawangan Ranting sekaligus, Khalid kemudiannya bertindak memecat anak-anak buah Azmin yang memegang jawatan di Cabang Kuala Selangor dan Ranting Ijok.
“Bukan itu saja, Azmin Ali juga dalam satu kenyataannya secara terbuka mengkritik dan menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan oleh exco-exco negeri Selangor yang dilantik oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Malah ada pelbagai lagi gerakan yang dijalankan oleh Azmin dalam usahanya menjatuhkan Khalid. Kalau nak bercerita, panjang berjela nanti,” jelas beliau.
Justeru itu kata beliau lagi, apabila timbul isu skandal seks dan rasuah yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR itu, Tan Sri Khalid Ibrahim, beliau hanya mengatakan ‘no komen’ dengan nada yang sinis ketika diminta oleh para wartawan mengulas isu tersebut, tanpa langsung membela anak didik kesayangan Anwar itu.
“Sebab itu jika kita perhatikan, sejak timbulnya dua isu yang membabitkan beliau, tidak ada seorang pun pemimpin dari Pakatan Pembangkang, terutamanya dari PKR yang tampil membela Azmin, kecuali Anwar Ibrahim. Ini ekoran sikap Azmin dan juga tindak tanduknya yang tidak begitu digemari oleh ramai ahli Pakatan Pembangkang, khususnya pemimpin dan ahli PKR sendiri,” jelas beliau.
No comments:
Post a Comment
comment please.....