Thursday, January 19, 2017

TUN M: ARREST ME BUT WITH TRIAL


1. Tun M sudah pun membalas balik komen Tuanku Sultan Johor. Begitu juga TS Muhyiddin. Jawapan mereka berdua senada iaitu soal kedaulatan. Manakala Lim Kit Siang masih mendiamkan diri. Mungkin "Play Safe". Tetapi Tun M seperti berpatah arang. Jawapan beliau amat sinikal dan boleh dikatakan kasar. Dia tidak kesah kalau digelar penderhaka. Tetapi tidak ada siapa pun yang tuduh dia penderhaka. Yang dibangkitkan ialah isu opportunis, selfish dan menggunakan isu pelabur negara China untuk membangkitkan sentimen kaum dan rasa takut kepada rakyat Johor.

2. Penderhakaan bukan isunya. Tun M semasa berkuasa dulu suka menuduh orang lain sebagai penderhaka. Anwar Ibrahim penderhaka, Tengku Razaliegh penderhaka dan Lim Kit Siang juga penderhaka. Semasa krisis Perlembagaan, Tun M digelar penderhaka. Tetapi memahami Tun M, dia tidak peduli semua itu. Dia boleh buat pusingan U. Sekarang ini orang yang dituduh penderhaka menjadi kawan baiknya. Tidak ada yang pelik pada Tun M.

3. Justeru bila dia secara sinikal mendakwa, dia mungkin ditangkap tanpa bicara kerana komen balasnya, apakah Tun M lupa bahawa ISA sudah pun dihapuskan. Ini bukan zaman beliau. Zaman beliau yang ada ISA sudah berakhir. Sebab itu Tun M boleh menyertai BERSIH 4 dan 5 tanpa ditangkap.

4. Dia menuduh orang lain menyerangnya tanpa hujah, tetapi apakah mengeksploitasi hujah Bloomberg bulat bulat kononnya 700,000 rakyat China akan mendapat taraf kewarganegaraan adalah rasional? Tun M sendiri semasa berkuasa sering menuduh media barat berat sebelah terhadap Malaysia. Maka tidak wajar dia menggunakan hujah "kewargenagaraan" tersebut. Sebab itu dakwaan bahawa Tun M cuba menakut nakutkan orang Johor adalah tepat. Apatah lagi ia berkaitan dengan negara China dan orang Cina. Ia mudah bertukar menjadi sentimen kaum. Ini amat sensitif dalam politik Malaysia.

5. Forest City adalah projek penambakan laut yang melibatkan keluasan 1,386 hektar berbanding keluasan Johor iaitu 1.9 juta hektar. Dengan kata lain keluasan tanah Johor akan bertambah sebanyak 0.07% sahaja. Pertambahan keluasan melalui penambakan laut ini dilaksanakan melalui pelaburan China. Justeru dakwaan Tun M dan TS Muhyiddin mengenai kedaulatan iaitu tanah Johor terjual tidak tepat.

6. Mungkin TS Muhyiddin lupa, selepas beliau menjadi MB Johor, tidak ada lagi "prime land" di bandar Johor Baharu yang berbaki untuk dibangunkan. Kebanyakannya sudah terjual atau menjadi milik pihak lain akibat penswastaan. Yang tinggal ialah tanah tanah di persisiran laut dan sungai untuk dibangunkan seperti pembangunan Danga Bay yang juga melibatkan reclaimation.

7. Justeru Forest City tidak terkecuali sebagai projek penambakan laut kesan daripada ketiadaan tanah tanah prime yang berbaki di sekitar bandar Johor Baharu. Sedangkan kita perlu bersaing dengan Singapura.

8. Tun M dan TS Muhyiddin bermegah dengan pelaburan asing yang mereka bawa masuk semasa dalam kerajaan dulu. Mereka dakwa pelaburan tersebut tidak melibatkan penjualan tanah. Pelaburan mereka di bidang manufacturing. Tetapi pelaburan manufacturing itulah yang menjadi punca kemasukan berjuta juta buruh asing sehingga tidak terkawal dan membawa masalah sosial yang lain. Lihat sahaja kilang kilang pembuatan yang ada. Siapa di dalamnya. Majoriti orang asing. Penglibatan mereka dalam jenayah juga boleh menggugat kedaulatan negara.

9. Maka, Tun M dan TS Muhyiddin kena cermin diri mereka sendiri terlebih dahulu.

DATUK DR. PUAD ZARKASHI
AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO

No comments:

Post a Comment

comment please.....