Thursday, November 29, 2012

#PAU2012: PEMUDA UMNO MOHON CALON MUDA DINAIKKAN!!


Seluruh anggota Umno seharusnya menerima baik hasrat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menampilkan calon muda, yang juga muka baharu, untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13, seiring transformasi politik yang dilaksanakan parti dan Barisan Nasional (BN).

Ini penting dan selaras dengan usaha menampilkan pemimpin muda sebagai pemimpin hari ini dan bukan lagi seperti ungkapan 'generasi muda adalah pemimpin masa hadapan', yang sudah tidak lagi relevan.

Naib Ketua Pemuda Datuk Razali Ibrahim berkata pemimpin muda yang ada dalam parti masa kini perlu dilatih dan diberi peluang untuk memastikan kesinambungan kepimpinan parti dan negara, sekali gus menjadikan Umno dan BN lebih kukuh.

Beliau berkata, gabungan pemimpin berpengalaman, bersama calon muda dan muka baharu untuk bertanding 222 kerusi parlimen dan 505 dewan undangan negeri (DUN) pada pada pilihan raya umum kelak, akan menghasilkan komposisi gandingan kepimpinan yang mantap.  

"Ini perlu kerana ia akan dapat menyakinkan rakyat bahawa Umno adalah sebuah parti yang dinamik dan kita akan berubah mengikut suasana. Gandingan pemimpin berpengalaman dan muka baharu yang lebih mahir dengan teknologi selari dengan pendekatan hari ini. Ia adalah kelebihan yang boleh kita manfaatkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Bersandarkan kepada keanggotaan hampir 700,000 ahli Pemuda Umno dan 395,674 Puteri Umno, Umno pastinya tidak ketandusan pemimpin yang dapat memahami hati dan minda golongan muda.

Memetik pepatah Melayu, 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya', Razali berkata peluang yang diberi kepada pemimpin muda akan membolehkan Umno meneruskan kelangsungan politik parti itu.

"Cuba tengok pembangkang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) berkata selepas 22 tahun beliau tak nampak ada orang layak memimpin Kelantan. Dia sebagai pemimpin, dia tidak melahirkan penggantinya," katanya. 

Selain itu, beliau berkata, pembangkang yang sebelum ini asyik mendendangkan tentang generasi baharu dalam perjuangan politik mereka, masih tetap menyenaraikan muka 'orang yang sangat lama' untuk mewakili parti berkenaan.

Penampilan calon muda dan muka baharu, katanya adalah satu proses untuk melahirkan barisan pemimpin pelapis untuk meneruskan kesinambungan pembangunan negara.

"Seorang pemimpin yang baik bukan sahaja dinilai daripada segi bakat kepimpinan, tetapi mereka juga mampu menyediakan pelapis dan proses peralihan ini telah bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehinggalah Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjamin proses pembangunan negara tidak terhenti," katanya.

Razali berkata gabungan pemimpin lama dan calon muda akan dapat membantu parti memenangi hati dan minda golongan muda kerana daripada 13.1 juta pengundi berdaftar sehingga suku ketiga tahun ini, 42 peratus adalah pengundi muda di bawah 40 tahun.

Mengenai calon boleh menang di kalangan muka baharu, kata beliau, selain layak mereka mestilah mempunyai kelebihan tersendiri seperti ahli perniagaan, pendakwah, penggiat kebudayaan dan tokoh sukan, menjadikan mereka ikon disegani.

"Mereka harus dikenali ramai dan tidak semestinya di kalangan orang lama sahaja. Sebab ada orang baharu yang mencipta nama malahan rakyat mengenali mereka lebih daripada pemimpin sedia ada," katanya.

Bagi Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sayap bongsu Umno itu menyambut baik langkah menampilkan calon muda dalam pilihan raya umum kelak.

"Ini menunjukkan YAB Perdana Menteri dan kepimpinan Umno mengiktiraf peranan yang dimainkan generasi muda dengan memberi ruang serta tempat untuk generasi muda menjadi sebahagian daripada pembuat dasar," katanya.

Beliau berkata, langkah ini memberi isyarat bahawa Umno konsisten dengan proses transformasi yang dipelopori perdana menteri.

Ini membuktikan Umno adalah parti yang sentiasa mengamalkan peremajaan, bersifat inklusif dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

comment please.....